Kerajaan digesa sedia rancangan jimat air pada musim kemarau

Kerajaan digesa sedia rancangan jimat air pada musim kemarau

Kerajaan perlu menyediakan rancangan penghantaran lori tangki air ke hospital dan jadual pengagihan air ke kawasan perumahan.

Rancangan teliti perlu diadakan sebelum langkah penjimatan air dilaksanakan bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka berterusan hingga Mei depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pengguna menggesa Putrajaya mewujudkan satu pasukan petugas bagi menangani masalah kekurangan bekalan air berikutan amaran yang dikeluarkan bahawa musim kemarau yang berlaku kini akan berterusan sehingga Mei depan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam, Jacob George berkata, pasukan petugas yang dicadangkan itu hendaklah membahagikan tugasnya kepada 3 fasa dalam menghadapi musim kemarau akan datang.

Fasa pertama melibatkan pertemuan dengan badan pengguna bagi memastikan tidak berlaku salah guna bekalan air.

“Pasukan petugas berkenaan boleh bermula dengan mewujudkan platform perkongsian maklumat dan memulakan perbincangan mengenai langkah penjimatan air,” katanya kepada FMT.

Katanya, fasa ke-2 hendaklah bertujuan menghentikan pusat mencuci kenderaan daripada menggunakan air segar, dan menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti seperti menyiram pokok.

Fasa ke-3 ialah melaksanakan langkah penjimatan air secara besar-besaran, seperti yang pernah berlaku pada akhir 1990-an.

“Kita perlu menyediakan rancangan penghantaran lori tangki air ke hospital dan jadual pengagihan air ke kawasan perumahan,” katanya.

Ini susulan gesaan presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga, S Piarapakaran supaya langkah penjimatan air dijalankan secara sistematik dan munasabah.

Piarapakaran berkata, rancangan teliti perlu diadakan sebelum langkah penjimatan air dilaksanakan. Antara langkah yang dicadangkannya ialah memberi notis sekurang-kurangnya 2 minggu kepada pengguna bagi menghalang “penggunaan panik”.

Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan paling teruk dilanda kemarau kali ini, sementara kapasiti 3 empangan didapati menyusut, iaitu Muda di Kedah berada pada paras 58.9%, Machap Johor, 55.61% dan Sembrong, Johor, 54%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.