
Ahli Parlimen Marang itu berkata, 8 syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak termasuk PAS tidak terikat dengan disiplin Perikatan, nama bagi BN sebelum ia diasaskan pada 1973.
Beliau dipetik akhbar rasmi PAS, Harakah sebagai berkata, parti Islam itu juga bebas berdakwah, termasuk di pejabat kerajaan, universiti awam, radio dan televisyen.
“Kerjasama (itu) juga untuk membolehkan aktiviti yang didapati bercanggah dengan Islam, termasuk tari-menari dan minuman arak dihentikan,” kata Hadi ketika merasmikan mesyuarat agung PAS Rantau Panjang di Kelantan, semalam.
PAS menyertai Perikatan pada 1972, sebelum meninggalkan gabungan itu 5 tahun kemudian, susulan pertikaian dengan Umno mengenai parti mana yang patut mentadbir Kelantan.
Kenyataan Hadi semalam susulan kerjasama rasmi PAS-Umno di peringkat Parlimen dan setiap pilihan raya kecil, yang diumumkan 5 Mac lalu.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti hala tuju kedua-dua parti dan senario politik tempatan.
Katanya, kerjasama Umno-PAS demi penyatuan ummah dan untuk mencari kebaikan, tetapi mereka tidak akan meminggirkan sesiapa pun, termasuk orang bukan Islam.