Ronald Kiandee kekal pengerusi PAC sehingga pengganti ditemui, kata PM

Ronald Kiandee kekal pengerusi PAC sehingga pengganti ditemui, kata PM

Perdana menteri berkata, kerajaan masih berpegang kepada manifesto PRU14 PH untuk melantik wakil pembangkang mengetuai PAC.

BANTING: Dr Mahathir Mohamad berkata, Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee akan mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara sehingga penggantinya ditemui.

Perdana menteri berkata, kerajaan masih berpegang kepada manifesto pilihan raya umum ke-14 Pakatan Harapan untuk melantik ahli Parlimen pembangkang sebagai pengerusi PAC.

“Ini tidak melibatkan soal undang-undang. Janji yang dibuat Pakatan Harapan, kita boleh buat bila-bila masa.

“Tidak semestinya jika ada sesuatu berlaku, kita perlu tukar semuanya.

“Kita akan cari calon yang sesuai, tetapi setakat ini, Ronald kekal sebagai pengerusi PAC,” katanya selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku, hari ini.

Mahathir berkata demikian susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai ahli PAC kerana beliau membenarkan Kiandee kekal sebagai pengerusi jawatankuasa itu selepas menyertai PPBM, 15 Mac lalu.

Kelmarin, Izzah menerusi Twitternya berkata, jawatan pengerusi PAC harus dipegang wakil rakyat pembangkang untuk mengejar kebertanggungjawaban pihak eksekutif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.