
Naib presiden Umno itu berkata, kes pencemaran toksik sejak 7 Mac lalu wajar menjadi faktor pendesak dan pemangkin untuk mempercepatkan pembinaan Hospital Pasir Gudang yang sudah lama dirancang, tetapi tergendala disebabkan isu lokasi sesuai dan praktikal.
Katanya, masalah itu berjaya diselesaikan dengan peruntukan diumumkan di bawah pentadbirannya dan majlis pecah tanah diadakan pada 4 Mei 2018, tetapi sehingga kini projek itu tiada sebarang kemajuan.
“Kerajaan negeri sepatutnya serius meneruskan pelan ini dengan segera bersama kerajaan persekutuan. Malah, perkara ini turut mendapat perhatian Sultan Johor yang menitahkan ia disegerakan,” katanya merujuk kenyataan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membina sebuah hospital kerajaan di Pasir Gudang.
Semalam, Sultan Johor mahu pembinaan hospital yang dalam perancangan kerajaan itu disegerakan kerana negeri itu antara penyumbang utama kepada hasil pendapatan kerajaan persekutuan dan adalah wajar serta adil untuk lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan kepada Johor, khasnya untuk menaiktaraf kemudahan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam dan jaringan lebuh raya.
Khaled berkata, kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai kawasan perindustrian dan penduduk yang ramai perlu dilengkapi infrastruktur serta prosedur keselamatan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri memperkemas prosedur dan garis panduan sedia ada dalam pengurusan kes kecemasan atau krisis alam sekitar.
“Adalah jelas dan terbukti kelembapan dan kegagalan kerajaan negeri untuk bertindak tangkas dan segera menjadi antara penyumbang yang memburukkan keadaan di Pasir Gudang tempoh hari.
“Saya yakin dengan adanya garis panduan serta prosedur lebih kemas, jelas dan tegas, pastinya kelewatan tindakan seperti ini tidak akan berulang.”
Ribuan penduduk dan pelajar di Pasir Gudang dirawat akibat terhidu gas toksik dari Sungai Kim Kim sejak 7 Mac lalu, dengan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang diarahkan ditutup sejak 13 Mac lalu hingga 30 Mac ini.