
Beliau berkata, baru-baru ini, kerajaan meluluskan 2 projek, iaitu projek menaik taraf LTAPP dan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dengan syarat ia perlu dilaksanakan menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
“Banyak pihak yang berminat untuk melabur dalam LTAPP memandangkan mereka menyaksikan potensi berdasarkan kapasiti maksimum 6.5 juta kita telah mencapai 8 juta.
“Projek ini tidak akan bermula daripada sifar kerana kajian boleh laksana telah siap.
“Saya berharap tender ini akan dilaksanakan pada akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah kilang baru Aemulus Corporation Sdn Bhd di Bayan Lepas hari ini.
Beliau berkata, projek naik taraf LTAPP akan lebih cepat dilaksanakan memandangkan kajian boleh laksana telah dibuat lebih awal dan kehadiran penumpang juga melebihi kapasiti maksimum.
Kapasiti maksimum LTAPP dijangka bertambah kepada 16 juta penumpang setahun apabila kerja naik taraf selesai, selain berpotensi ditingkatkan lagi kepada 20 juta penumpang setahun pada masa depan menerusi PFI, katanya.
Lim berkata, projek naik taraf LTAPP dan pembinaan KXP yang akan dibiayai pihak swasta mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kerajaan hari ini memandangkan kedua-dua projek berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan terdahulu.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang meminta kajian boleh laksana dilakukan ke atas projek KXP, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, semua projek lapangan terbang perlu menjalankan kajian tersebut.
“Cadangan untuk membina KXP masih di peringkat menunggu pihak pelabur mengemukakan cadangan mereka sebelum kita memuktamadkan sebarang perkara,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan tidak akan membantah cadangan pembinaan KXP sekiranya dilaksanakan menerusi PFI.
Selasa lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali mengumumkan, kerajaan meluluskan 7 projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.
Bagaimanapun pada Rabu, Chow meminta kerajaan pusat melakukan kajian boleh laksana sebelum memulakan projek pembinaan KXP.