Insiden kecoh libat pelajar IPTA dengan penyokong Najib, polis terima 12 laporan

Insiden kecoh libat pelajar IPTA dengan penyokong Najib, polis terima 12 laporan

10 saksi turut dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

Dalam kejadian petang semalam, berlaku provokasi yang mengakibatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Najib Razak sehingga berlakunya insiden tolak-menolak dan tarik-menarik poster.
KUALA LUMPUR:
Polis setakat hari ini menerima 12 laporan daripada pihak yang terlibat dalam insiden tolak menolak antara mahasiswa dan penyokong bekas perdana menteri Najib Razak di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu di sini, petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, 10 saksi turut dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

Beliau berkata, polis juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi syarat di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, dalam kejadian 3.45 petang itu, 7 mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengadakan protes senyap di perhentian bas berhampiran sebuah restoran dengan memegang poster.

“Berlaku provokasi yang mengakibatkan salah faham dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Najib Razak sehingga menyebabkan insiden tolak-menolak dan tarik-menarik poster yang dipegang mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, polis yang tiba sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudian berjaya mengawal keadaan serta menyelamatkan mahasiswa dengan membawa mereka keluar dari tempat kekecohan bagi mengelak insiden lebih buruk.

Mazlan berkata, kesemua mahasiswa terbabit dibawa ke balai polis Pantai dan dirakam percakapan sebagai saksi sebelum mereka membuat laporan polis.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, Mohd Firdaus Sharil di talian 012-3388164, pegawai penyiasat Aaron Anthony Doss di talian 014-9018596 atau talian penting polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.