Isa Samad tarik balik permohonan dapatkan dokumen beli kondo mewah

Isa Samad tarik balik permohonan dapatkan dokumen beli kondo mewah

Peguam, Joshua Goh Shang Yi berkata, permohonan mendapatkan minit mesyuarat lembaga pengarah FGV Holdings dan dokumen kelulusan membeli kondominium mewah di KL itu ditarik balik kerana dokumen itu sudah diserahkan kepada Isa Samad.

Isa Samad memohon mendapatkan dokumen FGV Holdings kerana beliau tidak boleh mengakses semua dokumen berkaitan selepas meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat itu, 2 tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Bekas pengerusi FGV Holdings Berhad, Isa Samad, hari ini menarik balik permohonan bagi mendapatkan dokumen berhubung minit mesyuarat lembaga pengarah syarikat itu dan kelulusan pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC yang didakwa melebihi harga pasaran.

Permohonan penzahiran dokumen itu berhubung saman difailkan FGV Holdings terhadap Isa dan bekas presiden serta ketua pegawai eksekutif kumpulan syarikat itu, Emir Mavani Abdullah yang menuntut ganti rugi RM7.69 juta membabitkan pembelian kondominium mewah berkenaan.

Peguam, Joshua Goh Shang Yi yang mewakili Isa berkata, anak guamnya menarik balik permohonan itu kerana FGV Holdings sudah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Isa.

Goh berkata, mahkamah membenarkan Isa menarik balik permohonan itu dengan kebebasan diberi kepada anak guamnya untuk memfailkan semula permohonan sama, jika perlu.

“Bagaimanapun, tiada sebarang perintah untuk kos,” katanya selepas prosiding kes itu di kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli, hari ini yang turut dihadiri peguam, Arthur Ng mewakili FGV Holdings.

Beliau berkata, pengurusan kes itu ditetapkan 18 April ini di depan Hakim, Azimah Omar.

Sebelum ini, Isa memohon mendapatkan dokumen FGV Holdings kerana beliau tidak dapat mengakses semua dokumen itu selepas meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat itu, 2 tahun lalu.

FGV Holdings selaku plaintif, menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 30 November lalu menjelaskan saman yang difailkan terhadap kedua-dua defendan itu berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga yang dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu berkata, saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol Emir.

FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondo itu dan RM3.15 juta daripada Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat serta faedah petrol.

Syarikat itu turut menuntut faedah 5% setahun terhadap ganti rugi yang diberikan mulai tarikh pemfailan saman itu sehingga penyelesaian penuh dan muktamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.