Putrajaya gantung operasi Boeing 737 hingga laporan 2 nahas didedah

Putrajaya gantung operasi Boeing 737 hingga laporan 2 nahas didedah

Kementerian Pengangkutan menunggu laporan dan perkembangan semasa berhubung 2 nahas di Jakarta, Indonesia dan Bishoftu, Ethiopia.

Operasi penerbangan pesawat Boeing 737 Max 8 digantung di beberapa negara selepas terlibat 2 nahas di Indonesia dan Ethiopia. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Putrajaya terus menggantung operasi penerbangan Boeing 737 Max 8 daripada melalui ruang udara negara atau melakukan transit sehingga laporan nahas membabitkan pesawat itu didedahkan.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, pihaknya sedang menunggu laporan dan perkembangan semasa berhubung 2 nahas di Jakarta, Indonesia dan Bishoftu, Ethiopia.

“Buat masa ini kita belum ada keputusan (sampai bila ia akan digantung). Ia bergantung kepada siasatan berhubung nahas 2 pesawat itu dan saya fikir ada juga siasatan dari pihak antarabangsa.

“Jadi kita akan ikut perkembangan tersebut dan akan buat keputusan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), Ahmad Nizar Zolfakar berkata, arahan penggantungan operasi pesawat Boeing 737 diteruskan sehingga notis lanjut.

Pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Ethiopian Airlines yang membawa 149 penumpang bersama 8 anak kapal terhempas pada 10 Mac lalu sejurus selepas ia meninggalkan lapangan terbang Addis Ababa.

Ia adalah jenis pesawat yang sama digunakan Lion Air yang terhempas pada Oktober lalu, 13 minit selepas berlepas dari Jakarta, Indonesia yang mengorbankan 189 penumpang dan anak kapal.

Rentetan nahas terbabit, Australia mengambil langkah mengharamkan semua pesawat Boeing 737 Max dari ruang udaranya bagi menilai risiko keselamatan, selepas percaturan sama dilakukan beberapa negara lain.

Syarikat penerbangan Silk Air berpangkalan di Singapura yang menggunakan pesawat berkenaan bagi laluan penerbangan ke Australia digantung perkhidmatan selepas bandar raya terbabit mengharamkan model itu dari ruang udaranya.

Beberapa negara lain seperti China, Korea Selatan, Brazil dan Afrika Selatan turut menggantung operasi pesawat Boeing 737 Max 8 bagi mengelak kemalangan udara sama berulang.

Dalam perkembangan lain, Loke turut memaklumkan Putrajaya akan meminta nasihat daripada Pejabat Peguam Negara berhubung pembayaran pampasan pengambilalihan sistem Penguatkuasaan Automatik kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Loke berkata, pihaknya masih berunding dan jika pembayaran dilakukan ia akan dibuat secara berperingkat.

Pada 17 Ogos lalu menteri itu berkata Kabinet bersetuju membayar balik RM555 juta dana LTAT secara berperingkat yang digunakan untuk mengambil alih operasi 47 kamera AES termasuk aset pada 2015.

Katanya, bayaran RM295 juta dan RM260 juta masing-masing kepada ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd itu tidak membabitkan pemilikan aset yang besar, kecuali untuk 47 kamera AES.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.