
Berucap pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis bantuan) MAHB di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata pasukan berkenaan turut merampas 240 senjata api, peluru dan komponen senjata api dalam tempoh yang sama.
Kamarudin turut mengingatkan anggota pasukan keselamatan penerbangan supaya meningkatkan tahap kawalan di lapangan terbang dan mengambil pengajaran dari kes tembakan yang berlaku di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lepas.
“Kalau tempat ibadat seperti masjid turut diserang apa lagi lapangan terbang yang mengendalikan puluhan juta manusia setahun. Jadi kawalan keselamatan yang lebih ketat diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MAHB Zainun Ali dalam ucapannya berkata sebagai pintu masuk utama negara, MAHB meletakkan keselamatan pada tahap yang tinggi.
“Ini termasuklah peruntukan untuk tujuan latihan dan perolehan lojistik terkini yang berteknologi tinggi,” katanya.
Hari ini seramai 28 pelatih pegawai berpangkat inspektor polis bantuan dan 201 pelatih pembantu keselamatan penerbangan berpangkat konstabel polis ditauliahkan. Ini menjadikan jumlah pegawai dan anggota keselamatan penerbangan MAHB di seluruh negara kini berjumlah 4,055.