
Amiruddin yang juga menteri besar Negeri Sembilan berkata, beliau tiada masalah sekiranya larangan itu ditarik balik.
“Apa pun saya tak kisah. Saya tak berada sebagai presiden SIGC pun tak ada masalah. Tak apalah, saya ikut tapi saya berhenti,” katanya kepada FMT.
Sebelum itu terdapat ahli SIGC tidak bersetuju dengan tindakan pengurusan melarang penjualan bir di premis itu, dan dijangka mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) mengenainya, Ahad ini.
R Shankar, salah seorang daripada 44 ahli yang akan mengadakan EGM tersebut berkata, keputusan menghentikan penjualan bir bukan hanya tindakan sebelah pihak, malah melanggar perlembagaan kelab.
Peguam itu berkata, keputusan tersebut bertentangan dengan amalan kelab selama 63 tahun yang menjual dan menyajikan bir dan ia juga bertentangan dengan kehendak majoriti ahli.
Dalam pada itu, Amiruddin berkata, keputusan larangan penjualan arak di SIGC diambil atas persetujuan Jawatankuasa Pengurusan SIGC dalam mesyuaratnya pada 20 Ogos 2018.
Beliau berkata, terdapat 3 sebab mereka memohon dan mencadangkan jualan arak diberhentikan di SIGC, antaranya kerana ia terletak di kawasan yang dikelilingi taman perumahan dan perkampungan yang majoriti penduduknya orang Melayu dan Islam.
“Selain itu terdapat juga masjid berhampiran dan kedudukan saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan (Exco Agama Islam),” katanya.
Amiruddin berkata, sebelum beliau mengambil alih jawatan presiden SIGC, terdapat juga tempoh kelab itu tidak menjual arak.
Kerajaan negeri memiliki padang golf 18 lubang berkenaan, sementara rumah kelab dan kemudahan sukan adalah milik 1,500 ahli kelab, yang terdiri daripada penjawat awam, pesara dan kakitangan sektor swasta.
Sejak 1991, menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri secara automatik dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden kelab berkenaa.
Ahli hanya memilih 2 naib presiden dan 5 lagi individu untuk mengisi jawatankuasa tersebut.