
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali berkata, kerajaan memerlukan penglibatan aktif pihak swasta dalam keadaan ekonomi negara sekarang.
“Pihak swasta diperlukan untuk pembangunan penting ini. Projek lapangan terbang ini 100% akan dilaksanakan pihak swasta.
“Kapasiti semakin meningkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, untuk memperbesarkan lapangan terbang itu agak terhad kerana tidak ada lagi kawasan sesuai untuk permintaan industri.
“Ada keperluan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim ini bagi menarik pelabur-pelabur ke Koridor Utara,” katanya sewaktu ditemui pemberita, di lobi Parlimen, hari ini.
Azmin turut memberi jaminan, pembinaan lapangan terbang itu tidak akan memberi impak negatif kepada Pulau Pinang, sebaliknya kedua-dua lapangan terbang itu melengkapi antara satu sama lain.
“Dengan adanya ini, kita boleh lihat lebih banyak pelabur datang ke Malaysia. Polisi kerajaan baru tidak boleh hanya fokus kepada di Lembah Klang, Selangor atau Johor.
“Kita mahu juga bawa pelabur ke utara dan negeri lain. Ini sebahagian daripada kajian separuh penggal pembangunan wilayah dan juga luar bandar, jadi kemudahan ini sebenarnya melengkapi kemudahan sedia ada sekarang,” katanya.
Azmin turut memberi jaminan pihaknya akan melakukan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, susulan terdapat gesaan dari Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
“Ia akan melalui proses-proses ditetapkan, bahkan perkara itu sudah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Koridor Utara pada Isnin lalu, dipengerusikan perdana menteri, menteri-menteri besar termasuk Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis,” katanya.
Terdahulu, Azmin Ali mengumumkan Putrajaya meluluskan projek berimpak tinggi di Kedah membabitkan pembinaan infrastruktur baru dan program kebajikan khusus bagi penduduk luar bandar berjumlah lebih RM3.6 bilion.
Antara projek diluluskan adalah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion dan pembinaan Lebuhraya Koridor Utara Fasa 1A (Bandar Baharu-Sungai Petani) dan Fasa 1B (Bandar Baharu-Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) bernilai RM1.7 bilion.