
Mohsin Budd, seorang juruteknik pendingin hawa berkata, dia membuat andaian itu berdasarkan ruang Adib jatuh di antara EMRS dan kenderaan yang diletak belah kiri jalan agak sempit.
“Dia jatuh di antara kereta dan van (EMRS) yang bergerak mengundur kerana lori Fire Rescue Tender (FRT) menolaknya.
“Saya mengandaikan tayar EMRS menggilis mangsa apabila tiada ruang untuk bergerak.
“Ketika mangsa jatuh, lori FRT masih bergerak van sudah berhenti, tapi lori FRT masih bergerak,” katanya.
Mohsin adalah saksi ke-20 dalam inkues yang masuk hari ke-14.
Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, Mohsin berkata Adib jatuh dalam keadaan berpeluk tubuh.
“Saya nampak orang ramai mengerumuni tempat di mana mangsa jatuh.
“Ada kumpulan individu pegang botol plastik, bunyi bising, (tapi) saya tidak tahu apa yang berlaku,” kata lelaki warga Pakistan itu yang menggunakan jurubahasa.
Peguam mewakili Kementerian Kerajaan Tempatan Syazlin Mansor kemudian meminta Mohsin menjelaskan bagaimana dia melihat mangsa terlentang selepas dihimpit EMRS kerana pemandangan kawasan kejadian dihalang melalui kenderaan lain.
“Saya boleh nampak kerana kereta yang berada di tepi jalan tidak tinggi sangat,” katanya.
Mohsin berkata, berdasarkan rakaman video rusuhan yang ditayangkan Syazlin semasa EMRS dilanggar FRT Adib masih berada di tempat duduk penumpang kenderaan berkenaan.
“Semasa FRT mengundur melanggar EMRS, ada orang di bahagian penumpang EMRS,” katanya ketika menjawab pertanyaan Syazlin.