Mak Yong dibenarkan jika patuh syariah, kata exco Kelantan

Mak Yong dibenarkan jika patuh syariah, kata exco Kelantan

Penilaian persembahan Mak Yong dilakukan oleh Majlis Kebudayaan Kelantan yang dianggotai oleh mufti dan ulama.

Persembahan tradisional Mak Yong diharamkan di Kelantan pada 1990 selepas PAS mengambil alih negeri itu. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan tidak mempunyai halangan untuk membenarkan kesenian Mak Yong dipersembahkan kepada umum sekiranya kesenian itu dipastikan mematuhi syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Md Anizam Abdul Rahman berkata dalam konteks itu, penilaian dilakukan oleh Majlis Kebudayaan Kelantan yang dianggotai oleh mufti dan ulama.

“Kita tiada halangan (kita) membenarkan kesenian itu dipersembahkan jika ia tidak bertentangan dengan syariah,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dun kelantan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abd Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) berhubung langkah kerajaan Kelantan dalam memartabatkan seni warisan di negeri ini.

Minggu lepas pelapor Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu Karima Bennounce menggesa Kelantan menarik balik larangan persembahan Mak Yong, wayang kulit dan lain-lain bentuk persembahan tradisional Melayu bagi memastikan kesenian dan budaya itu terus hidup.

PAS ketika mengambil alih negeri ini pada 1990 bertindak mengharamkan persembahan tradisional yang dianggap mengandungi unsur bertentangan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.