
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Izani Husin berkata, sudah 30 tahun Kelantan tidak mempunyai panggung wayang, namun ia bukan masalah bagi rakyatnya kerana ada pelbagai medium lain untuk mereka menonton filem.
“Kita boleh mengenakan syarat ketat kepada pengusaha panggung wayang, namun masih ada ruang terbuka yang boleh mengundang gejala sosial.
“Selepas berbincang, kerajaan memutuskan tidak membuka panggung wayang di seluruh Kelantan,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.
Semalam, Syahbuddin Hashim (BN-Galas) ketika membahaskan usul ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, mencadangkan negeri itu mewujudkan panggung wayang kerana rakyat terpaksa ke Terengganu semata-mata untuk menonton filem di pawagam.
Sebelum PAS mengambil alih kerajaan negeri daripada Barisan Nasional pada 1990, Kelantan mempunyai sebuah pawagam, iaitu Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama di sini.
Sementara itu, Syahbuddin menghormati keputusan kerajaan Kelantan bertegas tidak membuka panggung wayang di negeri itu, walaupun ia patuh syariah.
Katanya, cadangan mewujudkan panggung wayang patuh syariah yang dikemukakannya semalam bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat Kelantan berhibur dengan cara itu.
“Ini kerana sepanjang pemerhatian saya, kebanyakan rakyat Kelantan terpaksa memilih ke Terengganu untuk menonton wayang, sebab itu saya kemukakan cadangan itu.
“Bagaimanapun, kita hormati prinsip membangun bersama Islam yang diamalkan kerajaan Kelantan dan sebagai warga bertanggungjawab, kita akur dengan keputusan itu,” katanya selepas tamat sidang DUN Kelantan hari ini.