Mangsa kemalangan di landasan lapangan terbang Subang meninggal dunia

Mangsa kemalangan di landasan lapangan terbang Subang meninggal dunia

Ruzaimi Iskandar meninggalkan seorang isteri dan 4 anak.

PETALING JAYA: Kakitangan yang terlibat dalam kemalangan di landasan lapangan terbang Subang semalam meninggal dunia hari ini.

Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, disahkan meninggal dunia pada 6.45 petang.

Pemandu kenderaan kejuruteraan lapangan terbang itu meninggalkan seorang isteri, Nor Azawiah Md Usuf dan 4 anak, dari 1 hingga 13 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin menggambarkan Ruzaimi seorang kakitangan yang dedikasi.

“Pemergiannya suatu kehilangan tragik kepada Malaysia Airports,” katanya dalam kenyataan.

MAHB bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan jalankan siasatan kes kemalangan tersebut.

“Untuk kebaikan semua pihak, terutama keluarga mangsa dalam masa sedih ini, kita mohon media dan orang awam tidak buat spekulasi mengenai perkara tersebut,” kata kenyataan MAHB sebelum itu.

Ruzaimi dilaporkan cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan pesawat persendirian di landasan LTSAAS itu awal pagi semalam.

Insiden itu menyebabkan ketibaan beberapa penerbangan terjejas kerana kerja pembersihan serpihan di landasan.

Operasi penerbangan kembali pulih pada 9 pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.