Kerajaan cadang himpunan aman pupuk hubungan lepas serangan Christchurch

Kerajaan cadang himpunan aman pupuk hubungan lepas serangan Christchurch

Himpunan aman tersebut adalah sebahagian daripada usaha jawatankuasa untuk mempromosi keamanan di negara ini.

Dari kiri:Dari kiri: Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dan timbalan beliau, Fuziah Salleh.
KUALA LUMPUR:
Sebuah jawatankuasa diwakili pemimpin agama dan pertubuhan bukan kerajaan memutuskan untuk menganjurkan satu himpunan aman pada 23 Mac ini, berikutan serangan pengganas ke atas 2 masjid di New Zealand, Jumaat lalu.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.

“Himpunan itu akan tumpu kepada menyebarkan mesej keamanan dan perhubungan baik antara kaum dan keharmonian agama.” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Menurutnya, himpunan tersebut adalah sebahagian daripada usaha jawatankuasa itu untuk mempromosikan keamanan di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, mereka memutuskan untuk mempercepatkannya selepas kejadian di New Zealand.

Dalam kejadian tersebut, seorang warga Australia, Brenton Tarrant, 28, didakwa melepaskan tembakan di Masjid Al Noor dan Linwood, menyebabkan 50 jemaah terkorban dan berpuluh lagi cedera.

Mujahid berkata, jawatankuasa itu berharap himpunan berkenaan akan merapatkan hubungan dan mengelak kebencian dalam kalangan masyarakat.

“Kita mungkin tidak ada insiden seperti (di New Zealand) itu di negara kita, tetapi himpunan seperti ini diperlukan untuk mengelaknya daripada berlaku.

“Kita tidak boleh nilai setakat mana keamanan diperlukan dalam sesebuah negara. Lihat New Zealand, ia sebuah negara aman, dan tiba-tiba ini (berlaku),” katanya.

Katanya, himpunan itu dirancang diadakan di Dataran Merdeka.

Perbincangan sedang diadakan dengan pihak berkuasa
untuk mendapatkan pengecualian syarat 10 hari notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut adalah Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.