
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ada nilai sejarah pada nama Highland Towers, yang diingati kerana tragedi bangunan runtuh yang meragut 48 nyawa pada 1993.
“Nama Highland Towers akan dikekalkan kerana ia sejarah dan akan menarik perhatian pelancong untuk hadir,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Highland Towers terdiri daripada 3 blok 13 tingkat. Pada 11 Disember 1993, Blok 1 runtuh selepas kejadian tanah runtuh.
Penghuni 2 blok lain dipindahkan atas sebab keselamatan dan terbiar hingga ke hari ini.
Zuraida pada Jun berkata kementerian akan mengkaji kemungkinan merobohkan blok-blok yang tinggal itu supaya tanah itu boleh digunakan semula.
Beliau berkata menara terbiar itu menyakitkan mata dan menjadi tempat persembunyian penjenayah.
Selepas mesyuarat pembangunan semula kawasan Highlands Towers hari ini, Zuraida memaklumkan laporan kajian struktur kondominium itu dijangka siap pada awal Mei.
Laporan itu akan disiapkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers yang terdiri daripada 14 pakar.
“Laporan sepenuhnya yang rangkumi 3 aspek iaitu teknikal, mengenai keadaan tanah dan keadaan struktur bangunan,” katanya.
Zuraida juga berkata beberapa perkara berhubung 2 blok di Highland Towers akan dibawa ke mahkamah untuk menentukan sama ada boleh dirobohkan atah tidak.
“Jadi yang ini harus ditetapkan dan dikeluarkan oleh mahkamah. Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai tuan tanah dan di sana hakim buat keputusan. Sekiranya roboh, MPAJ akan robohkan,” katanya.
Zuraida juga berkata selain membina tapak Highland Towers sebagai taman rekreasi, pemilik tanah juga bercadang membina kediaman jenis banglo.