
Demikian inkues mengenai kematian Adib yang dijalankan di Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Budd Mohsin, seorang juruteknik pendingin hawa, berkata, Adib dihimpit van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) ketika rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25.
Saksi ke-19 itu memberitahu inkues kejadian itu berlaku selepas EMRS dilanggar lori Fire Rescue Tender (FRT).
“Orang ramai pukul lori (FRT). Ada orang pakai botol, ada kayu.
“Apabila FRT terus berundur melanggar EMRS, EMRS himpit mangsa dengan sebuah kereta dan mangsa jatuh telentang,” katanya.
Budd memberitahu, dia berada 10 meter dari tempat Adib dilanggar itu.
Dia menceritakan bagaimana lori FRT berundur melanggar EMRS selepas diserang sekumpulan lelaki.
“Sekumpulan orang menuju ke lori dan van tersebut yang telah diletak di tepi jalan raya,” katanya.
Katanya, selepas Adib terjatuh, sekumpulan individu menuju ke arah Adib untuk menyerang.
“Selepas Adib telentang, ada sekumpulan orang macam nak serang Adib.
“Kemudian ada orang cuba membantu Adib dari tempat kejadian. Beberapa orang mengangkat Adib, membawanya ke (stesen minyak) Caltex,” katanya.
Pada inkues hari ke-13 ini, baju dipakai Adib semasa malam kejadian turut ditunjukkan oleh pihak pendakwa raya bagi tujuan pengecaman.
Pihak pendakwa raya, diketuai Hamdan Hamzah, turut menayangkan rakaman video semasa rusuhan.
Saksi sama akan menyambung keterangan esok.
Adib cedera parah ketika rusuhan itu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negra.