Rumah anak yatim Kedah nafi peralat kanak-kanak kutip derma

Rumah anak yatim Kedah nafi peralat kanak-kanak kutip derma

Ia selepas pihak berkuasa negeri menyerahkan beratus kanak-kanak yang didapati bukan anak yatim kepada ibu bapa mereka dan menutup pusat itu.

Empat pentadbir Pusat Jagaan Kanak-kanak Cahaya Amal Bestari merayu kepada orang ramai, selepas ia ditutup pihak berkuasa dalam tangkap layar daripada satu rakaman video yang dimuat naik ke Facebook.
SUNGAI PETANI:
Sebuah rumah anak yatim di Kedah mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri atas dakwaan mempergunakan 200 kanak-kanak di bawah jagaannya untuk mengutip derma daripada orang ramai.

Pusat Jagaan Kanak-kanak Cahaya Amal Bestari di Sungai Petani menolak dakwaan pihak berkuasa yang rumah anak yatim itu haram kerana mereka sudah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan, termasuk Majlis Perbandaran Sungai Petani, Jabatan Kebajikan Masykarat dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

“Bagaimana anda boleh kata kami mengeksploitasi kanak-kanak sedangkan kami hanya menjaga anak yatim dan fakir miskin? Kami turut hantar mereka ke sekolah rendah. Derma itu untuk menjaga mereka dan rakan serumah mereka yang lain,” kata jurucakap pusat itu, Azfar Kamaruddin kepada FMT.

Pusat itu beroperasi di sederet 14 rumah kedai di Taman Pekan Baru.

Pihak berkuasa mengarahkan mereka mengosongkan premis itu di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007 kerana ia tidak berdaftar dengan JKM atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah.

Satu rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu menangis ketika menaiki sebuah van meninggalkan pusat itu, mendapat simpati ramai.

Tetapi, kerajaan Kedah berkata, pusat itu mengeksploitasi kanak-kanak terbabit.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Kedah, Ismail Salleh dilaporkan berkata, siasatan mendapati hanya 11 kanak-kanak ialah anak yatim, manakala selebihnya mempunyai ibu bapa.

Katanya, 109 kanak-kanak itu sudah diserahkan semula kepada ibu bapa mereka, sementara JKM akan memberi perlindungan kepada 11 anak yatim itu.

Ismail berkata, pusat itu yang beroperasi sejak 2005 sudah dikenakan banyak tindakan dan ia sering menukar nama dan berpindah untuk meneruskan operasi mereka.

Ia pernah beroperasi di Alor Setar dan Simpang Empat, sebelum berpindah ke Sungai Petani pada 2016.

“Modus operandi mereka ialah menggunakan kanak-kanak untuk mendapat simpati orang ramai menderma atau membeli produk daripada mereka.

“Saya pernah dihampiri penghuni pusat itu di Jalan Duta, Kuala Lumpur sebelum seorang lagi di Tapah, Perak.

“Saya beritahu apa yang mereka buat ini tidak betul, tetapi mereka mengatakan mereka dilatih untuk menjadi ‘usahawan’, yang mana skrip yang digunakan boleh dikatakan hampir sama,” katanya semalam.

Katanya, kanak-kanak itu menjual madu dan produk lain untuk mendapat “wang saku”.

Ismail berkata, pusat itu turut melanggar Akta Kanak-kanak 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.