
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif awam-swasta memperluaskan capaian bank makanan itu ditubuhkan badan bukan kerajaan dan sektor swasta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail, yang turut hadir dalam sidang media di Kementerian Kewangan hari ini berkata, program itu sudah dimulakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 26 Februari lalu dan Universiti Malaya pada 7 Mac lalu.
Program itu juga dijangka dilancarkan di Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.
Saifuddin berkata, kementeriannya mendapat kerjasama 430 pasar raya, termasuk Tesco, Giant, Aeon, NSK, Econsave, Mydin dan LuLu yang akan menyumbang makanan berlebihan kepada program itu.
Program itu akan dikendalikan rakan kongsi strategik kementerian, termasuk Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen dan Mutiara Food Bank.
Saifuddin berkata, kementeriannya akan mendapatkan bantuan mahasiswa sebagai sukarelawan untuk mengedarkan makanan di kampus.
Beliau berkata, kementeriannya dalam proses mendraf rang undang-undang bagi pelaksanaan bank makanan di negara ini, yang akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.