Pelajar tahfiz terabai kerana tiada agensi mahu bertanggungjawab

Pelajar tahfiz terabai kerana tiada agensi mahu bertanggungjawab

Pusat tahfiz dibiarkan beroprasi tanpa seliaan kerana agensi kerajaan keberatan untuk bertindak.

GEORGE TOWN: Seorang aktivis hak asasi kanak-kanak hari ini berkata pusat tahfiz dibiarkan beroperasi tanpa seliaan kerana agensi kerajaan keberatan untuk menangani perkara yang terletak bawah pentadbiran Islam.

James Nayagam berkata kerajaan persekutuan tidak terkejut walaupun selepas 8 tahun laporan-laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menonjolkan masalah-masalah dengan pusat-pusat tahfiz.

Nayagam berkata terdapat kira-kira 1,200 sekolah tahfiz di mana lebih 500 adalah tidak berdaftar. Beberapa pusat menawarkan asrama dan pusat jagaan kanak-kanak.

Bagaimanapun, tiada agensi kerajaan atau kementerian ke depan untuk menyelia hal ehwal sekolah-sekolah itu, yang ditubuhkan bawah enakmen negeri-negeri bawah pentadbiran Islam.

Badan-badan sivil juga keberatan untuk bertindak, katanya.

“Pusat-pusat ini ada di serata negara dan mereka tidak diselia oleh pihak berkuasa tempatan, jabatan kebajikan atau badan-badan lain.

“Kami bertanyakan kepada semua agensi kerajaan siapa yang menjaga mereka dan kami terkejut apabila tiada jawapan.”

Sekolah tahfiz menjadi bahan berita minggu ini apabila sebuah pusat di Sungai Petani, Kedah diarah tutup kerana beroprasi tanpa kebenaran dan dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk mengutip derma atas nama agama.

Di Shah Alam hari ini, Sultan Selangor mengarahkan pusat-pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan tidak mempunyai kurikulum moden ditutup.

Nayagam berkata pusat-pusat tidak berdaftar tidak diselia dari segi pemakanan murid-murid, imunisasi dan pendidikan.

“Di Suhakam, kami pernah berbincang mengenai kesejahteraan kanak-kanak di pusat-pusat sebegitu, yang ada sesetengahnya dijamu nasi dengan garam.

“Lebih teruk lagi, sistem ‘abang jaga adik’ dan bukan penyelia dewasa atau kakitangan yang menjaga mereka. Itu boleh membawa kepada kes keganasan dan penderaan seks.”

Nayagam berkata kebakaran di pusat tahfiz pada 2017, di mana 23 orang terbunuh, mendesak pihak berkuasa supaya lebih bertanggungjawab, tetapi belum ada badan kemuka pelan komprehensif mengenai cara memantau pusat-pusat sebegitu.

Jabatan Kebajikan Masyarkat sepatutnya menjadi pelindung semua kanak-kanak dan patut menggunakan kuasanya ke atas pusat-pusat sebegitu tanpa rasa gentar atau pilih kasih, katanya.

Kementerian Kesihatan dan Pendidikan juga mesti ke depan.

Bagaimanapun, badan-badan kelihatan bimbang tentang menegur pusat-pusat tahfiz.

“Undang-undang mesti terpakai pada semua orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.