Mangsa Malaysia dalam serangan masjid NZ perlu jalani pembedahan susulan

Mangsa Malaysia dalam serangan masjid NZ perlu jalani pembedahan susulan

Rahimi Ahmad, Mohd Tarmizi Shuib dan Mohd Nazril Hisham Omar perlu menjalani pembedahan susulan di Hospital Christchurch yang dijangka diadakan hari ini.

Rokiah Mohammad menunjukkan gambar anaknya, Rahimi Ahmad, yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Christchurch, New Zealand. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Mangsa serangan masjid di Christchurch, Rahimi Ahmad, menunjukkan tanda positif, tetapi perlu menjalani pembedahan susulan untuk mengeluarkan sisa peluru hari ini.

Rahimi, 39, pekerja kilang susu di New Zealand, yang terkena 2 das tembakan dalam serangan di Masjid Al Noor Jumaat lalu, masih bergantung kepada mesin pernafasan di Unit Rawatan Rapi.

Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, ibu Rahimi, Rokiah Mohammad dan abangnya, Rosdi Ahmad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch kira-kira 5 pagi semalam dan terus bergegas ke Hospital Christchurch, di mana semua mangsa warga Malaysia sedang dirawat.

“Kami difahamkan oleh pihak hospital, kecederaan Rahimi menunjukkan tanda positif, tetapi dia perlu menjalani pembedahan ‘wash out’ selanjutnya,” katanya dalam pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp semalam.

Kelmarin, Azrul bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh mewakili kerajaan negeri menemani Rokiah, 65, dan Rosdi, 42, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 3.30 petang kelmarin bagi melihat perkembangan mangsa tembakan itu.

Sementara itu, Azrul bersama Phee turut berkesempatan melawat 2 lagi mangsa warga Malaysia, Mohd Tarmizi Shuib dan Mohd Nazril Hisham Omar yang turut menerima rawatan.

Tarmizi yang cedera di bahagian belakang badan dijangka menjalani pembedahan hari ini, manakala Nazril yang cedera di kaki dan belakang badan pula perlu menjalani pembedahan untuk “wash out”.

Azrul berkata, Tarmizi dan Nazril sudah sedar dan kelihatan stabil, tetapi mereka masih memerlukan pembedahan susulan.

“Apa yang membimbangkan, saya difahamkan anak Tarmizi, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, belum ditemui. Kita berharap Haziq dapat ditemui dalam keadaan selamat.”

Beliau juga meminta rakyat Malaysia terus berdoa semua mangsa di sini cepat sembuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.