
Bekas menteri pertahanan itu berkata peristiwa itu menunjukkan tiada negara terkecuali daripada ancaman terorisme, tetapi apakah yang Kementah lakukan dalam 10 bulan Pakatan Harapan memerintah untuk mengukuhkan hubungan antarabangsa bagi membanteras pengganas dan ancaman militan.
Beliau berkata Kementah tidak perlu tunggu Kertas Putih Pertahanan yang dijangka dibentangkan September ini untuk menentukan hala tuju berdepan terorisme, dan menggesa PH memanfaatkan “kelebihan” yang disediakan pentadbiran lepas.
“Apa yang berlaku sekarang di keliling kita memerlukan ‘sense of urgency,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
“Kita menganggotai Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan ia mesti digerakkan untuk melihat apa yang berlaku di New Zealand secara serius.
“Ini ada kaitan juga dengan hubungan 3 hala kita dengan Filipina dan Indonesia berhubung IS. Takkan itu pun kita nak tunggu ‘kertas putih’?”
FPDA merupakan perjanjian pertahanan pelbagai hala antara Malaysia, Singapura, New Zealand, Australia dan United Kingdom, di mana negara anggota boleh menentukan langkah-langkah wajar jika berlaku serangan atau ada ancaman bersenjata.
Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) merupakan rangka kerja yang dikongsi Malaysia, Indonesia dan Filipina dalam isu maritim, keselamatan dan persempadanan di Laut Sulu.
“Apa yang mereka lakukan sebenarnya hari ini untuk memastikan pertahanan, keselamatan dan diplomasi yang wujud begitu lama digunakan sebaik mungkin, lebih lagi melihat kepada peristiwa di New Zealand,” katanya.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sebelum ini berkata Kertas Putih Pertahanan menggariskan pelan pembangunan keupayaan terkini angkatan tentera, dengan mengambil kira aspek jangka pendek dan panjang dasar pertahanan negara.
Ia juga memberi penekanan terhadap aspek pertahanan negara luar sebagai contoh untuk memantapkan sistem ketenteraan.