
Senator Adrian Lasimbang berkata, semua orang kini bercakap mengenai royalti minyak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 seolah-olah itulah satu-satunya perkara yang boleh diusahakan.
“Jika pengaruh gerakan perubahan iklim menjadi lebih serius, industri minyak dan gas pasti terkesan. Negara di dunia akan terpaksa mengurangkan pelepasan (gas). Sabah dan Sarawak akan terjejas,” katanya.
Bercakap kepada FMT di luar persidangan Kerjasama Tenaga Bersih di sini Sabtu lepas, beliau berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa mula merancang ke arah tenaga yang boleh diperbaharui dan pembangunan mampan.
Beliau memberi contoh Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak atau Sares yang katanya, memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi solar.
Bagaimanapun katanya, teknologi hidro mini boleh digunakankan untuk kebanyakan kampung terlibat dengan skim tersebut.
Beliau berkata, ia lebih baik kerana teknologi hidro mampu digerakkan 24 jam sehari, berbanding teknologi solar yang beroperasi pada waktu tertentu sahaja.
“Mereka (pihak berkuasa) mendakwa mereka berunding dengan pejabat daerah, tetapi saya fikir ini tidak memadai. Mereka perlu turun ke bawah untuk buat kajian,” katanya.
Lasimbang, pengasas Tobpinai Ningkokoton Koburuon Kampung, sebuah pertubuhan yang mempromosi teknologi sesuai untuk projek pembangunan masyarakat mampan, juga menggesa kerajaan melabur lebih banyak bagi memperkasa rakyat memasuki bidang teknologi tenaga boleh diperbaharui.
“Adalah penting bagi kita memperkasa mereka supaya mereka faham bagaimana sistem itu berjalan dan hadnya,” kata beliau.
Menurutnya, sebahagian besar masyarakat tidak memahami teknologi tersebut.
“Mereka ingat mereka boleh beli panel solar, pasang di atas bumbung dan dapat bekalan elektrik, tapi bukan begitu caranya,” jelasnya.
Katanya, sering berlaku apabila sesuatu projek solar dikenal pasti untuk dilaksanakan, ia diberikan kepada kontraktor yang dilantik.
Isu penyelenggaraan, katanya, diserahkan kepada kementerian berkaitan, yang selalunya tidak mempunyai peruntukan untuk menyelenggara sistem tersebut.
Sebaliknya sistem berasaskan masyarakat akan membolehkan rakyat menyelenggaranya sendiri.
Mengenai polisi alam sekitar, Lasimbang menggesa kerajaan negeri dan persekutuan mengetepikan perbezaan politik dan mendahulukan kerjasama.
“Kita tidak boleh cakap sesuatu di peringkat persekutuan tetapi lakukan benda lain di peringkat negeri,” katanya.