Pembersihan Sg Kim Kim akan selesai dalam 2 hari

Pembersihan Sg Kim Kim akan selesai dalam 2 hari

Jarak Sungai Kim Kim dibersihkan ialah 1.2km setakat semalam.

Keadaan pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang berada dalam tahap terkawal dan tidak berbahaya. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Proses pembersihan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berjalan lancar dengan jarak yang sudah dibersihkan ialah 1.2km setakat semalam, kata Menteri Besar Johor, Osman Sapian.

Oleh itu, beliau percaya kerja pembersihan sungai berkenaan ekoran pembuangan sisa kimia dapat dibersihkan sepenuhnya dalam tempoh sehari 2 nanti.

Sementara itu, beliau berkata keadaan pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang berada dalam tahap terkawal dan tidak berbahaya.

Ia berdasarkan indeks kualiti udara yang berada di bawah paras bahaya setakat 6 petang tadi.

“Bacaan O.17 PPM (bahagian setiap juta) adalah bacaan yang tidak berbahaya kerana masih di paras bawah 2.0 ppm,” katanya ketika diminta mengulas mengenai notis bacaan indeks kualiti udara yang ditampal oleh pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor di Stadium Tertutup Pasir Gudang malam tadi.

Sementara itu, jumlah orang ramai yang membuat pemeriksaan di pusat saringan berkurangan berbanding sebelum ini, turut menandakan satu perkembangan baik.

“Sehari demi sehari jumlah mangsa yang mendapat rawatan di hospital semakin menurun,” katanya.

Terlebih dahulu, Osman meluangkan masa kira-kira 1 jam melawat orang ramai yang mendapat rawatan awal di Pangkalan Perubatan Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.