Pelarian Rohingya jadi calon Malaysia terima anugerah antarabangsa AS

Pelarian Rohingya jadi calon Malaysia terima anugerah antarabangsa AS

Sharifah Shakirah berhijrah ke Malaysia ketika berusia 5 tahun, kini adalah calon Malaysia untuk Anugerah Wanita Waja Antarabangsa Jabatan Negara AS.

Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir (kiri) menyerahkan sijil yang mengiktiraf Sharifah Shakirah sebagai calon Malaysia untuk Anugerah Wanita Waja Antarabangsa Jabatan Negara AS.
KUALA LUMPUR:
Sharifah Shakirah hampir tidak ingat bagaimana dia terpisah daripada ibu dan adik-beradiknya dengan mengikut sindiket penyeludup manusia ke satu lokasi rahsia di sempadan Malaysia.

Dia hanya berusia 5 tahun ketika itu.

Ibunya membawa mereka adik-beradik melalui perjalanan selama 3 minggu dari perkampungan mereka dengan berjalan kaki dan menaiki bot melalui hutan di Myanmar dan Thailand.

Mereka meninggalkan Myanmar untuk melarikan diri daripada keganasan yang semakin berleluasa terhadap orang Rohingya di Rakhine.

Bapanya sudah berada di Malaysia selepas melarikan diri 3 tahun sebelum itu dan mereka sekeluarga mahu menyertainya di sana.

Sharifah yang meneruskan perjalanannya dari sempadan seorang diri akhirnya bersatu semula dengan keluarganya di KL. Dia kini tinggal bersama suaminya di bandar raya itu.

Walaupun selepas 20 tahun perjalanan penuh ranjau itu berlalu, namun nasib masyarakat terpinggir, terutama kanak-kanak, tetap dekat di hatinya.

Pelarian di Malaysia, sama ada yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atau tidak, tidak dibenarkan belajar di sekolah kebangsaan, bekerja secara sah, atau mendapat akses penjagaan kesihatan.

Sharifah berdepan dengan semua kesusahan hidup yang dilalui oleh anak-anak pelarian di Malaysia.

Akibat ketetapan undang-undang, dia terpaksa belajar sendiri dengan menonton televisyen dan membaca apa-apa sahaja bahan yang diperolehi.

Sharifah Shakirah yang fasih 5 bahasa, termasuk bahasa Inggeris dan Melayu, ingin menceritakan kepada dunia keadaan di Myanmar dan mengapa dia melarikan diri.

Setelah dewasa, dia juga mempunyai pengalaman peribadi berhubung masalah khusus yang dihadapi pelarian wanita.

Beberapa tahun lalu, dia menghadiri program sebuah NGO untuk komuniti Rohingya di Ampang. Di situ dia dicaci oleh seorang lelaki Rohingya selama 2 jam kerana bercakap tentang keperluan lelaki dan wanita bekerja bersama bagi membantu komuniti mereka.

“Sikap seperti itu merobek hati saya tetapi ia juga memotivasikan saya kerana ia menunjukkan bagaimana manusia boleh bertindak semberono, dan betapa mereka sangat memerlukan pendidikan,” katanya kepada FMT baru-baru ini.

Insiden itu merupakan salah satu punca dia mengasaskan Rangkaian Pembangunan Wanita Rohingya (RWDN) pada 2016.

Lebih kurang 500 wanita selalunya berkumpul di program RWDN dalam komuniti Rohingya di sekitar KL. Ia membincangkan pelbagai topik, termasuk kesihatan reproduktif, ketidaksamaan gender dan perkahwinan bawah umur. Sesi membaca Al-Quran adalah yang paling popular.

Mereka juga menyiasat bagaimana pelarian wanita dapat mencari pekerjaan atau memulakan perniagaan mereka sendiri.

RWDN juga menjadi platform untuk memberitahu dunia tentang keadaan sebenar yang berlaku di Myanmar dan mengapa keluarganya melarikan diri.

Ini merupakan satu kisah yang boleh diceritakannya sekarang dalam 5 bahasa – Bahasa Inggeris, Melayu, Burma, Hindi dan Rohingya.

“Masyarakat antarabangsa fikir orang Rohingya hanya berdepan masalah pembunuhan beramai-ramai sejak 2012, tetapi itu tidak benar sama-sekali. Ia sudah berjalan selama 80 tahun,” katanya.

“Orang Rohingya bukan pendatang ekonomi. Kami melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa kami.”

Kehidupan mereka di negara baru tidak selalunya mudah. Polis pernah menyerbu rumah Sharifah dan suaminya. Mereka juga diganggu oleh samseng. Begitu banyak, sehingga pada satu ketika, mereka terpaksa berpindah ke rumah tumpangan dan hidup bersembunyi bagi mengelak pertembungan yang berpotensi menjadi ganas.

RWDN, seperti tergambar pada namanya, bertujuan memperkasa golongan wanita. Tetapi dia tidak menjadikannya satu pertarungan antara jantina. Dia percaya setiap jantina mewakili satu tangan, dan mereka tidak boleh bertepuk tangan melainkan dengan bekerjasama.

Ditanya apakah reaksinya terhadap lelaki yang memandang rendah wanita sepertinya, Sharifah berkata dia akan mengingatkan mereka supaya tidak mengganggu sesiapa sahaja yang berjuang untuk komuniti mereka dan apa-apa yang mereka percayai.

“Sekalipun jika hanya 10 daripada beratus-ratus orang yang hadir program RWDN berasa bahawa mereka telah belajar sesuatu. Bagi saya itu adalah satu kejayaan.”

Dia berharap cawangan RWDN di Bangladesh akan dibuka tidak lama lagi. Dia juga berhasrat untuk membantu kumpulan wanita terpinggir lain di Myanmar, seperti etnik Kachin.

“Akan tetapi, kami memerlukan lebih banyak dana untuk tujuan itu.

Di Malaysia, terdapat cakap-cakap yang menyebut tentang cadangan kerajaan hendak membenarkan anak-anak pelarian memasuki sekolah kebangsaan dan mendapat akses penjagaan kesihatan.

“Saya sangat berharap kerajaan baru melaksanakannya. Kemudian apabila anak-anak itu membesar, mereka dapat menyumbang secara berkesan kepada masyarakat yang menyelamatkan mereka.”

Banyak perkara yang mengejutkan mengenai wanita ini, kedutaan Amerika Syarikat di KL baru-baru ini mencalonkannya untuk mewakili Malaysia bagi Anugerah Wanita Waja Antarabangsa anjuran Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Dia adalah calon bukan warganegara Malaysia pertama yang dicalonkan sebagai wakil negara untuk anugerah itu.

Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir menyerahkan sijil yang mengiktirafnya sebagai calon Malaysia.

Sharifah telah melalui hampir kesemuanya. Daripada seorang kanak-kanak 5 tahun yang ketakutan dan keletihan dalam kalangan penyeludup manusia di sempadan Malaysia, kepada calon anugerah Wanita Waja Antarabangsa.

Dia melepasi semua cabaran itu dan kini berjaya di Malaysia. Walaupun dia pasti akan menafikannya, namun dia adalah contoh luar biasa tentang apakah yang boleh dicapai oleh seorang anak pelarian di sini dan untuk negara ini hanya sekiranya mereka diberikan peluang yang lebih adil untuk mencuba.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.