Komuniti Cina NZ kecam serangan, hulur sumbangan pada mangsa

Komuniti Cina NZ kecam serangan, hulur sumbangan pada mangsa

Walaupun tiada korban membabitkan komuniti Cina, masyarakat itu tetap prihatin dengan kejadian yang menimpa umat Islam.

Persatuan Pelajar dan Sarjana Cina Universiti Canterbury berkata kekejaman menyebabkan banyak nyawa melayang dan mencetuskan kemarahan. (Gambar AFP)
CHRISTCHURCH:
Masyarakat Cina di Christchurch, New Zealand mengecam serangan pengganas ke atas 2 masjid dan turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa, lapor Xinhua.

Dewan Perniagaan Canton di New Zealand dalam 1 kenyataan pada Sabtu berkata, walaupun tiada korban membabitkan komuniti Cina, masyarakat itu tetap prihatin dengan kejadian yang menimpa umat Islam.

“Tidak sepatutnya ada perkauman, keganasan dan kekejaman walau apa pun alasannya,” kata kenyataan itu.

Persatuan Pelajar dan Sarjana Cina Universiti Canterbury juga turut bersedih dengan kejadian itu, berkata kekejaman menyebabkan banyak nyawa melayang dan mencetuskan kemarahan.

“Bagaimanapun, apa yang mereka (pelaku) tidak dapat memusnahkan ialah semangat kami.

“Kepelbagaian di New Zealand tidak akan goyah dan tidak melunturkan semangat untuk membantu satu sama lain,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat bandar raya Christchurch digemparkan dengan serangan keganasan apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan di 2 masjid, menyebabkan sekurang-kurangnya 49 orang maut dan 48 lagi cedera.

Tiga suspek kini ditahan dan seorang daripadanya didakwa di mahkamah kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.