111 sekolah di Pasir Gudang terus ditutup, kata Maszlee

111 sekolah di Pasir Gudang terus ditutup, kata Maszlee

Kesemua sekolah terbabit akan ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Rabu lepas, Kementerian Pendidikan mengarahkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup susulan pencemaran sisa bahan kimia yang berlaku di Sungai Kim Kim. (Gambar Bernama)
BANTING:
Kementerian Pendidikan mengesahkan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang, Johor masih lagi ditutup susulan pencemaran toksik akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, 7 Mac lepas.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, kesemua sekolah terbabit akan dibuka semula sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Sekolah di kawasan itu sudah tutup dan kita tidak ada tarikh bila dibuka semula, kita tengok (keadaan) dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Bahagian Pendidikan Swasta di Universiti MAHSA di sini, hari ini.

Rabu lepas, Kementerian Pendidikan mengarahkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup susulan pencemaran sisa bahan kimia tersebut.

Langkah itu dibuat berdasarkan kepada situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan membabitkan 90 pekerja bermula Rabu lepas.

Sementara itu, Maszlee meminta semua pelajar yang berada di sekitar Christchurch, New Zealand dan bandar berdekatan supaya berhati-hati serta mengambil langkah berjaga-jaga ekoran insiden tembakan rambang di 2 masjid di Christchurch semalam.

“Setakat ini tiada pelajar kita yang terlibat dan kesemua 303 pelajar yang berada di Christchurch selamat.

“Kita berharap supaya pelajar kita ambil langkah berjaga-jaga dan doakan yang terbaik buat pelajar kita dan rakyat Malaysia di sana,” katanya.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan semalam melaporkan 2 rakyat Malaysia cedera dalam kejadian di 2 masjid di Christchurch itu dan kini sedang dirawat di hospital negara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.