Lega bertukar cemas bagi keluarga mangsa serangan masjid NZ

Lega bertukar cemas bagi keluarga mangsa serangan masjid NZ

Selepas berjaya mengeluarkan sebutir peluru dari perut, doktor menemui sebutir lagi peluru pada tulang belakang Rahimi Ahmad.

Rokiah Mohammad menunjukkan gambar anaknya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Binjai, Bayan Lepas hari ini.
GEORGE TOWN:
Keluarga Rahimi Ahmad, 36, salah seorang daripada 3 rakyat Malaysia yang disahkan tercedera dalam serangan ke atas masjid di Christchurch, New Zealand hari ini lega apabila menerima berita beliau terselamat.

Bagaimanapun, kegembiraan bertukar cemas apabila isteri Rahimi, Norazila Wahid, 39, menghubungi mereka mengatakan keadaan beliau “kritikal” dan perlu dibedah lagi.

Norazila memberitahu keluarganya bahawa Rahimi dibedah untuk mengeluarkan peluru dari abdomen, tetapi doktor menemui sebutir peluru pada tulang belakangnya dan satu lagi pembedahan dijadualkan esok.

Rahimi, anak ketiga dari 5 adik beradik, berhijrah ke New Zealand 4 tahun lalu untuk menjadi seorang juruteknik di sebuah kilang susu.

Norazila pula melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Mereka mempunyai 2 anak, seorang anak lelaki berusia 11 tahun dan seorang anak perempuan berusia 9 tahun.

Ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, berkata dia sedang mengikuti kelas mengaji Al-Quran di rumah jirannya di Kampung Binjai, Bayan Lepas apabila mendapat tentang serangan itu.

Selepas menonton berita di televisyen, Rokiah cuba menghubungi Norazila tetapi gagal.

Rokiah berkata Rahimi selalu pergi ke masjid yang terletak berdekatan rumahnya yang nampak sama macam dalam televisyen.

“Saya rasa dia pergi bersolat Jumaat di situ. Saya rasa sangat bimbang. Tiada siapa beritahu apa-apa kepada saya,” katanya kepada pemberita dengan air mata berlinangan.

Sambil memegang gambar anaknya, Rokiah berkata Rahimi seorang insan yang ceria dan selalu menghubungi ahli keluarga di Pulau Pinang.

Rahimi mahu pulang ke tanahair tahun depan untuk mengubahsuai rumah kampung mereka.

Exco Phee Boon Poh dan Adun Azrul Mahathir sedang menguruskan perjalanan Rokiah dan abang Rahimi, Roshidi, 42, ke New Zealand.

Sekurang-kurangnya 2 lagi rakyat Malaysia tercedera dalam serangan itu. Sumber di Wisma Putra mengesahkan mereka adalah Tarmizi Shuid dan Mohd Nazril Omar.

Status seorang lagi rakyat Malaysia, Haziq Tarmizi, belum diketahui.

Laporan terbaru mengatakan 49 terbunuh dan 48 cedera dalam serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.