
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Zulkifli Zainal Abidin berkata kumpulan berkenaan terdiri daripada pasukan 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja berkekuatan seramai 4 pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat diketuai Lt Kol Norhelmi Ismail.
Beliau berkata kumpulan berkenaan dilengkapi peralatan khusus seperti pengesan kimia, alat pensampelan dan pakaian perlindungan CBRN.
“Kedua-dua kumpulan itu tiba di Pasir Gudang pada petang tadi dan ATM akan mengkoordinasikan segala keperluan bencana di lokasi kejadian.
“Semua kumpulan telah melapor di pusat kawalan tempat kejadian yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih di Pasir Gudang,” katanya pada sidang akhbar di Subang hari ini.
Zulkifli berkata tentera juga menghantar unit pemindahan mangsa dari 2 Batalion Ubat melibatkan seorang pegawai perubatan dan 3 paramedik bersama sebuah ambulans.
“ATM akan memantau perkembangan pencemaran sungai Kim Kim dari semasa ke semasa dan bantuan akan diberi mengikut keperluan operasi,” katanya.
Kejadian pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang bermula pada 7 Mac lalu sehingga malam tadi telah menyebabkan ribuan orang awam dirawat di hospital.