Nigeria: Sekolah, pangsapuri runtuh, 9 maut dan ramai terperangkap

Nigeria: Sekolah, pangsapuri runtuh, 9 maut dan ramai terperangkap

Bangunan terlibat telah 3 kali ditandakan untuk dirobohkan, kata pegawai.

Pegawai agensi penyelamat berkata, kebanyakan yang maut adalah murid sekolah rendah swasta di bangunan itu, sementara kira-kira 50 lagi berjaya diselamatkan. (Gambar Facebook)
LAGOS:
Sekurang-kurangnya 9 orang maut, manakala ramai lagi masih terperangkap, selepas bangunan yang menempatkan sebuah sekolah dan beberapa unit pangsapuri runtuh di hab komersial Lagos, Nigeria, semalam.

Seorang pegawai penyelamat tempatan memaklumkan kepada agensi berita China Xinhua bahawa sekurang-kurangnya 9 mayat telah ditemui, dan sekolah di bangunan 3 tingkat dalam kawasan Ita-Faji di Pulau Lagos itu mempunyai 172 murid berdaftar.

Ibrahim Farinloye, penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan di wilayah barat daya Nigeria berkata, sukar untuk memberikan jumlah mangsa yang terkorban atau cedera kerana operasi menyelamat masih dijalankan.

Kebanyakan yang maut adalah murid sekolah rendah swasta di bangunan itu dan kira-kira 50 lagi berjaya diselamatkan, kata pegawai itu.

Hospital awam Lagos, di mana kebanyakan mangsa yang terselamat dirawat, telah mengesahkan 41 orang berada dalam keadaan stabil.

Bangunan terlibat itu telah ditandakan 3 kali untuk dirobohkan, menurut para pegawai bangunan negeri Lagos.

Murid sekolah terbabit sedang belajar dalam kelas pada kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan apabila bangunan itu runtuh di kawasan yang padat dengan penduduk di Lagos.

Penduduk pangsapuri di bangunan itu dan pemilik kedai yang terletak di luar premis tersebut turut terjejas.

Penduduk yang terkejut serta orang ramai di kawasan itu serta ibu bapa yang panik, bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu usaha menyelamat sebelum pekerja kecemasan tiba.

Seorang bapa yang meraung kerana kehilangan satu-satunya anak lelakinya terpaksa dipegang dan ditenangkan oleh rakan-rakan.

Punca runtuhan belum dapat dipastikan.

Akinwunmi Ambode, Gabenor Lagos berkata, siasatan terperinci akan dilakukan berhubung insiden itu.

Sementara itu, Presiden Nigeria Muhammadu Buhari dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Abuja semalam menzahirkan rasa dukacita beliau berhubung tragedi tersebut.

Beliau meminta kerajaan negeri Lagos, yang merupakan hab ekonomi Nigeria, melakukan segala yang diperlukan agar tragedi seperti itu tidak berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.