Mubadala tangguh urusan perniagaan dengan Goldman Sachs

Mubadala tangguh urusan perniagaan dengan Goldman Sachs

Syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi menggantung sebarang aktiviti dengan Goldman Sach sementara menunggu hasil tindakan undang-undang anak syarikatnya terhadap bank itu dan lain-lain.

ABU DHABI:
Syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi, Mubadala menggantung semua urusan perniagaan dengan Goldman Sachs sejak anak syarikatnya memfailkan tindakan undang-undang terhadap bank Amerika Syarikat dan lain-lain pada November bagi mendapatkan kembali kerugian yang dialami menerusi urusan dengan 1MDB.

“Kami menggantung sebarang aktiviti dengan Goldman Sachs sementara menunggu hasil litigasi,” kata jurucakap Mubadala Investment Co, Brian Lott kepada Reuters.

“Satu-satunya pengecualian ialah urusan yang ditandatangani sebelum tindakan undang-undang, yang akan diteruskan mengikut terma kontrak,” katanya.

Jurucakap Goldman Sachs enggan memberi komen.

Mubadala, yang menguruskan lebih AS$225 bilion dalam bentuk aset, mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat terbesar di Abu Dhabi dan antarabangsa seperti firma tenaga Sepanyol, Cepsa dan syarikat Austria, OMV.

Dalam beberapa tahun lalu, Goldman yang berpangkalan di New York dalam kalangan bank teratas untuk mendapatkan nasihat mengenai pengambilalihan di Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu.

Bank pelaburan itu dilantik oleh kerajaan Abu Dhabi untuk menasihati satu jawatankuasa pemandu yang menyelia penggabungan antara Aldar Properties dan Sorouh Real Estate pada 2013.

Bank itu juga mengerjakan rancangan penilaian penggabungan untuk bursa Abu Dhabi dan Dubai, pada 2014, yang ditangguhkan kerana tiada persetujuan tentang terma-termanya.

International Petroleum Investment Co (IPIC), yang bergabung dengan Mubadala pada 2017, memfailkan tindakan undang-undang sivil di New York pada November terhadap Goldman dan lain-lain, mendakwa mereka memainkan peranan penting dalam usaha untuk merasuah bekas-bekas eksekutif IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments, dan memperdaya IPIC dan Aabar,” untuk meningkatkan perniagaan Goldman dan 1MDB.

Goldman berkata ia akan mencabar dakwaan itu.

!MDB menjadi subjek dalam siasatan rasuah dan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 6 negara.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa dianggarkan AS$4.5 bilion digelapkan daripada syarikat pelaburan kerajaan itu oleh pegawai-pegawai atasan syarikat dan rakan-rakan antara 2009 dan 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.