Mahkamah Persekutuan akan tentukan kesahan Akta MKN

Mahkamah Persekutuan akan tentukan kesahan Akta MKN

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, Mahkamah Persekutuan akan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim merujuk persoalan mengenai perlembagaan untuk membatalkan Akta Majlis Keselamatan Negara Akta 2016 (MKN), ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim, Nordin Hassan membuat keputusan itu dalam kamarnya di depan peguam J Leela yang mewakili Anwar.

Leela memberitahu pemberita, hakim itu membuat beberapa pindaan kepada persoalan yang dibangkitkan Anwar, iaitu sama ada Akta MKN itu melanggar Perlembagaan, tidak sah dan terbatal serta tidak berkesan bersandarkan alasan berikut; ia menjadi undang-undang berikutan pindaan yang melanggar Perlembagaan, ia tidak digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan ia melanggar kebebasan untuk bergerak yang dijamin Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Sekarang kita bolehlah menunggu Mahkamah Persekutuan untuk menetapkan tarikh pendengaran,” kata Leela.

Anwar memfailkan saman pemula untuk mencabar kesahan Akta MKN di bawah Perlembagaan yang dikuatkuasakan 1 Ogos 2016, yang ditolak Mahkamah Tinggi atas alasan cabaran perundangan sepatutnya difailkan di Mahkamah Persekutuan kerana ia melibatkan kompeten legislatif oleh Parlimen.

Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan prosiding mendapatkan penetapan sesuatu undang-undang adalah tidak sah, tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan.

Anwar kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 6 November 2017. Pada Mac 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkannya merayu keputusan itu.

Pada 13 November 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Anwar dan menghantar kembali perkara itu ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar meritnya.

Bagaimanapun, pada 27 Februari lalu, apabila kes itu disebut di depan Hakim Nordin, peguam Anwar, Gopal Sri Ram memohon Mahkamah Tinggi memindahkan perkara itu ke Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan persoalan mengenai Perlembagaan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dalam saman pemulanya yang difailkan pada 2 Ogos 2016, Anwar mendakwa pelaksanaan Akta MKN 2016 melanggar Perlembagaan dan tidak sah, dengan menamakan MKN dan kerajaan sebagai defendan pertama serta ke-2.

Beliau memohon untuk membatalkan Akta MKN dalam usaha mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memberi perkenan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.