
Vietnam mengemukakan permohonan itu susulan pembebasan wanita Indonesia, Siti Aisyah yang dituduh bersama Doan Thi Huong dari Vietnam, atas permintaan negara berkenaan.
Doan dan Siti Aisyah didakwa membunuh Jong Nam dengan menyapu cecair VX, senjata kimia yang diharamkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, di muka mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Februari 2017.
“Aduan kami ialah pendakwa raya tidak bertindak adil terhadap Doan Thi Huong,” kata peguamnya, Hisyam Teh yang memohon penangguhan atas alasan anak guamnya tidak sihat.
Hisyam memberitahu mahkamah, langkah menolak permohonan Vietnam tidak wajar dan satu bentuk diskriminasi kerana peguam negara memihak kepada sebelah pihak, selepas mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri.
Hisyam berkata, menteri luar dan menteri undang-undang Vietnam sedang berhubung dengan rakan sejawatan mereka dari Malaysia untuk pembebasan Doan.
Selepas keputusan hari ini, Doan menangis ketika bercakap dengan pegawai Kedutaan Vietnam, sebelum dia diiringi polis meninggalkan mahkamah.
Isnin lalu, pendakwa raya membuat kejutan dengan meminta mahkamah menggugurkan dakwaan terhadap Siti Aisyah dan melepaskannya. Wanita itu kemudiannya diterbangkan ke Jakarta pada hari sama.
Pada awalnya, Siti Aisyah dan Doan didakwa bersama 4 lagi yang masih bebas membunuh Jong Nam di Balai Berlepas klia2 pada 9 pagi 13 Februari 2017. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Peguam bela mempertahankan kedua-dua wanita itu sebagai kambing hitam dalam pembunuhan yang didakwa dirancang ejen Korea Utara.
Dinding di luar Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara diconteng tulisan Korea dan beberapa simbol, beberapa jam selepas pembebasan Siti Aisyah.
Interpol mengeluarkan notis merah ke atas 4 rakyat Korea Utara yang dikenal pasti sebagai suspek yang meninggalkan Malaysia beberapa jam selepas kematian Jong Nam.
Jong Nam hidup dalam buangan di Macau beberapa tahun sebelum pembunuhannya. Beliau melarikan diri dari Korea Utara selepas adiknya, Kom Jong Un dilantik pemimpin tinggi pada 2011, susulan kematian bapa mereka.
Sesetengah penggubal undang-undang Korea Selatan mendakwa Korea Utara mengarahkan pembunuhan Jong Nam, tetapi ia dinafikan Pyongyang.