
Memetik sumber, Wall Street Journal (WSJ) berkata, Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, membuat pindahan wang berjumlah kira-kira AS$1.5 juta kepada firma pelaburan Hawaii, LNS Capital pada 2017.
LNS Capital dimiliki bersama oleh Larry Davis, yang menyumbang sebanyak AS$100,000 kepada jawatankuasa Victory Trump pada Disember tahun itu.
Kata WSJ, menurut rekod persekutuan lebih AS$60,000 diberikan kepada Jawatankuasa Kebangsaan Republikan (RNC), AS$5,400 diberikan secara langsung kepada kempen pemilihan semula Trump, sementara bakinya diagihkan kepada parti Republikan negeri serta kempen berkaitan.
RNC bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dengan berkata, “Trump Victory tidak menerima sumbagan daripada syarikat atau warga asing seperti ditetapkan oleh undang-undang.”
Jho Low dikehendaki berhubung dakwaan bahawa beliau mencuri wang berjumlah berbilion dolar daripada 1MDB. Dana pelaburan kerajaan itu dilanda skandal melibatkan dakwaan kecurian wang miliknya sebanyak AS$4.5 bilion.
Jho Low, yang sebelum ini berkata beliau menjalankan kerja perundingan bagi pihak 1MDB, disifatkan oleh sesetengah media antarabangsa sebagai perancang utama di sebalik beberapa skim melibatkan dana yang hilang itu.
Beliau dilihat sebagai “saksi terbaik” untuk memberikan maklumat mengenai dakwaan jenayah yang berlaku di 1MDB.
Sehingga kini keberadaan beliau tidak diketahui walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk mengesan dan menahannya bagi membolehkan beliau dibicarakan di mahkamah.
Dalam kenyataan hari ini, peguam beliau, Robin Rathmell berkata, Jho Low “menafikan sekeras-kerasnya” dakwaan bahawa beliau memberi sumbangan seperti disebut oleh artikel WSJ itu.
“Dakwaan itu adalah palsu dan tidak berasas sama sekali, malah WSJ telah dimaklumkan tentangnya sebelum artikel itu diterbitkan.
“Low tidak pernah membuat apa-apa perjanjian dan/atau membayar (atau mengarahkan bayaran) kepada mana-mana entiti yang disebut dalam artikel WSJ kononnya merupakan derma politik.”
Ia seterusnya berkata, Jho Low tidak pernah mengenali LNS atau Davis sehinggalah apabila mereka dirujuk oleh WSJ, kata Rathmell, dengan menambah perbuatan WSJ memilih untuk “mengabaikan keistimewaan undang-undang” sangat mengecewakan.