Salah laku kehakiman: Polis akan ambil keterangan 3 hakim

Salah laku kehakiman: Polis akan ambil keterangan 3 hakim

Fuzi Harun berkata, polis sudah mengambil keterangan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Latifah Mohd Tahar berhubung dakwaan salah laku dalam badan kehakiman.

Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavit sokongan setebal 63 halaman bulan lalu mendakwa berlaku campur tangan terbuka dalam kes mahkamah membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan mengambil keterangan 3 hakim berhubung dakwaan salah laku dalam badan kehakiman.

“Kita sedang mempercepatkan proses untuk merakam percakapan mereka yang terlibat, termasuk 3 hakim dan kita dah ambil keterangan Ketua Pendaftar Mahkamah (Persekutuan), Latifah Mohd Tahar.

“Jadi, kita akan ambil tindakan segera untuk lengkapkan kertas siasatan tersebut untuk dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwa raya,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 20 Februari lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dakwaan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer.

Bulan lalu, Hamid dalam afidavit sokongan setebal 63 halaman mendakwa berlaku campur tangan terbuka dalam kes mahkamah membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 Februari lalu, Hamid enggan memberi maklumat kepada 2 pegawai polis Bukit Aman yang pergi ke kamarnya berhubung afidavit menggemparkan mengenai salah laku beberapa hakim tidak dinamakan.

Hamid sebaliknya bertegas hanya akan memberi keterangan kepada RCI yang akan ditubuhkan kerajaan.

Dakwaan tertuduh juvana dicabul dalam tahanan

Fuzi berkata, belum ada suspek ditahan dalam siasatan ke atas dakwaan salah seorang tertuduh juvana dicabul dalam tahanan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam.

Semalam, peguam yang mewakili 2 remaja dalam kes pembunuhan bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan mendakwa salah seorang anak guamnya dicabul rakan tahanan di pusat tahanan di Sentul, Kuala Lumpur.

Vandalisme di luar Kedutaan Korea

Fuzi berkata, polis sedang menyiasat 4 lelaki yang dipercayai terbabit dalam menconteng dinding luar Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara dengan tulisan Korea dan beberapa simbol.

“Setakat ini, kita tidak ada petunjuk sama ada ia berkaitan kes pembunuhan Kim Jong Nam, tetapi kita sedang siasat dari pelbagai sudut.”

Vandalisme itu dikesan berlaku pada hari sama Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan tertuduh dari Indonesia, Siti Aisyah dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara.

Tempoh khidmat ketua polis negara

Fuzi menafikan dakwaan perkhidmatannya sebagai ketua polis negara akan dilanjutkan dalam masa terdekat.

“Saya tidak tahu-menahu pasal perkara ini, saya tak dapat apa-apa notis. Yang saya pasti, saya akan tamat perkhidmatan awal Mei nanti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.