Hina menteri: Pemimpin sayap kanan diarah bela diri

Hina menteri: Pemimpin sayap kanan diarah bela diri

Azwanddin Hamzah didakwa menggunakan perkataan menghina terhadap Waytha Moorthy dalam perhimpunan 'Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib' Dis lalu.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini memerintah pemimpin kumpulan sayap kanan Melayu, Azwanddin Hamzah, menjawab saman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu didakwa menggunakan perkataan menghina terhadap Waytha ketika berucap dalam perhimpunan yang diadakan selepas kematian anggota bomba, Mohammad Adib Kassim pada 26 Dis tahun lepas.

Peguam Annou Xavier, yang mewakili menteri tersebut berkata, pendaftar Mahkamah Tinggi mengeluarkan arahan tersebut dalam kamar.

“Dia (Azwanddin) perlu memberi penyata pembelaan sebelum 26 Mac,” katanya.

Kes itu akan disebut di hadapan pesuruhjaya kehakiman Rohani Ismail pada 16 April depan.

Dalam samannya, Waytha, yang ditugaskan menjaga perpaduan negara dan kesejahteraan sosial, mendakwa Azwanddin mengunakan kata-kata menghina dengan merujuk namanya.

Menurutnya, Azwanddin menggunakan perkataan tersebut 3 kali dalam program tersebut.

Waytha mendakwa perkataan tersebut bertujuan memalukan dan menghinanya serta menanam kebencian orang ramai terhadapnya.

Katanya, firma guaman yang mewakilinya, Azri Lee Swee Seng & Co, menghantar surat kepada Azwanddin pada 8 Januari lalu supaya memohon maaf dalam tempoh seminggu.

“Tetapi dia enggan melakukannya,” kata Waytha.

Waytha menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya daripada Azwanddin dan mendapatkan injunksi untuk menghentikan Azwanddin daripada mengulangi kenyataannya tersebut.

Ini adalah saman ke-2 terhadap Azwanddin oleh pemimpin Pakatan Harapan.

Januari lepas, Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok memfailkan saman terhadap Azwanddin kerana mendakwa Kok mempunyai kepentingan dalam pertikaian tanah berkaitan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.