
Hari ini kerajaan negeri menawarkan unit alternatif di tempat lain kepada beberapa keluarga terlibat.
Difahamkan 6 keluarga yang berkemah di bangunan kerajaan negeri itu dibenarkan kembali ke unit lama mereka di Taman Manggis untuk keluarkan semua barang mereka dalam tempoh 2 minggu dan pindah ke rumah baru.
Seorang daripada penghuni itu, Farah Abdul, 55, berkata, kerajaan negeri memanggil wakil 6 keluarga tersebut untuk berbincang hari ini.
Katanya, dia dan sebuah lagi keluarga ditawarkan unit flat murah bawah konsep “sewa untuk milik” di Gat Lebuh Macallum.
Setiap unit itu berharga RM40,000 dan mereka masing-masing dikehendaki membayar sewa RM220 sebulan.
Farah berkata dia akan angkat semua barang rumahnya yang dibawa ke lobi Komtar dan balik ke Taman Manggis sebelum diberi kunci untuk memasuki rumah baru jika mereka menerima tawaran itu.
Difahamkan kerajaan negeri juga menawarkan 2 keluarga lagi flat RM72,500 setiap sebuah, sementara tawaran untuk keluarga lain masih dalam proses.
Sementara itu, beberapa wakil NGO yang mendakwa menjuarai penduduk Taman Manggis itu sejak 7 hari lalu menganggap sikap tolak ansur kerajaan sebagai kemenangan moral untuk mereka dan penghuni yang diusir.
Enam keluarga ini antara 22 keluarga yang diusir dari unit PPR Taman Manggis kerana dianggap tidak layak.