
Hisyam Teh, yang mewakili remaja berusia 16 tahun dan adiknya berumur 13 tahun, memberitahu hakim Mahkamah Tinggi, Ab Karim Ab Rahman bahawa remaja itu mendakwa dia dicabul rakan tahanan di pusat tahanan di Sentul, Kuala Lumpur.
“Kami memfail permohonan jaminan untuk mereka. Kami harap sementara itu mahkamah boleh keluarkan perintah supaya dia dihantar ke pusat tahanan lain di Puncak Alam supaya dia dapat bersama adiknya,” katanya.
Katanya, remaja itu sedia beri keterangan mengenai dakwaan serangan tersebut.
Ab Karim berkata, peguam perlu memfailkan permohonan jika mahu memindahkan remaja terbabit ke pusat tahanan lain dan mendapat jaminan sementara menunggu perbicaraan.
Bagaimanapun, Salim Bashir, yang mewakili kedua remaja tersebut berkata, mahkamah ada kuasa memerintah supaya mereka dipindahkan.
“Kita sedang berurusan dengan kanak-kanak dan mereka mesti dilindungi,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jamin Aripin memberitahu mahkamah, pihak pendakwa akan menemui warden berhubung serangan tersebut.
Katanya, laporan perlu dibuat kepada polis.
Bercakap kepada pemberita selepas sebutan kes, Hisyam berkata, bapa remaja berkenaan akan buat laporan polis.
“Kami menunggu mahkamah memberi tarikh bagi mendengar permohonan kami untuk jaminan. Kami harap ia dapat dilakukan menjelang Jumaat ini,” katanya.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, yang juga berdepan tuduhan membunuh Nazrin, berkata, mereka akan meminta mahkamah membenarkan dia dijamin.
Beliau mengakui peruntukan Kanun Prosedur Jenayah tidak membenarkan jaminan untuk kesalahan membunuh, tetapi berkata, mahkamah boleh mengenakan syarat seperti memerintah Samirah melaporkan diri di balai polis dari semasa ke semasa.
Beliau memberi contoh kes di mana Mahkamah Tinggi membenarkan jaminan ke atas bekas anak guamnya yang juga berdepan tuduhan membunuh.
Sebelum itu, Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi, Samirah dibawa ke “bilik gelap” di penjara Kajang selepas dilawati peguamnya Sabtu lepas.
“Beliau tidak diberi pensil atau kertas untuk mencatat nota dalam usaha mempertahankan dirinya dalam kes tersebut,” katanya, sambil meminta pendakwa mengambil perhatian berhubung perkara tersebut.
DPP Zain Ibrahim berkata, mereka akan maklumkan perkara itu kepada Jabatan Penjara, sambil mengingatkan Samirah terikat dengan peraturan penjara.