
“Permintaan domestik dijangka kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan penggunaan swasta dan pelaburan disokong oleh persekitaran perniagaan dan keyakinan pelabur yang bertambah baik.
“Ini akan mengimbangi sentimen negatif daripada persekitaran luar dan penyatuan fiskal, menjadikan pertumbuhan mendatar pada 4.7% pada 2019 dan hampir kepada potensi (kira-kira 4.75%) dalam tempoh jangka sederhana,” kata IMF dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan IMF Executive Board yang memuktamadkan perundingan Article IV 2019 dengan Malaysia pada 15 Feb.
IMF berkata, ekonomi Malaysia terus mencatatkan prestasi baik meskipun keadaan luaran yang tidak menentu dengan pertumbuhan berada pada purata di atas 5% dalam tempoh 5 tahun lepas yang membawa kepada pendapatan perkapita lebih tinggi serta mengurangkan kadar kemiskinan yang sedia rendah.
“Pertumbuhan ekonomi kini menyederhana dan dianggarkan pada 4.7% pada 2018 disokong oleh permintaan kukuh domestik dan luaran.
“Inflasi keseluruhan turun daripada purata 3.7% pada 2017 kepada anggaran 1% pada 2018 apabila pelarasan harga minyak domestik ditangguhkan, cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar dan penurunan inflasi harga makanan,” kata agensi itu.
Bagaimanapun, IMF menjangka inflasi akan meningkat dan lebihan akaun semasa terus mengecil.
“Inflasi dijangka meningkat di atas paras 2% pada 2019, apabila kesan penghapusan GST mereda dan subsidi minyak menjadi bersasar.
“Dalam jangka sederhana, pertumbuhan dijangka tertumpu kepada potensi dan inflasi kekal rendah,” kata agensi itu.
Para pengarah eksekutif IMF memuji pihak berkuasa atas prestasi kukuh ekonomi Malaysia dalam tempoh kebelakangan ini dengan menyatakan pertumbuhan itu adalah padu tanpa sebarang petanda tekanan inflasi.
Mereka bersetuju bahawa meskipun prospek jangka sederhana kekal menggalakkan, risiko pertumbuhan perlahan masih lagi ada, terutamanya disebabkan oleh persekitaran luaran.
Selain itu mereka juga menggalakkan pihak berkuasa untuk terus melaksanakan dasar makroekonomi yang boleh dipercayai, di samping melindungi pertumbuhan dan kestabilan kewangan, dan menjalankan pembaharuan struktur untuk meningkatkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
Para pengarah IMF bersetuju dengan langkah penyatuan fiskal yang dirancang secara beransur-ansur pada 2019 dan dalam jangka sederhana untuk menyokong pengurangan hutang dan mengukuhkan penampan fiskal.
Mereka menggalakkan pihak berkuasa untuk melaksanakan laluan fiskal jangka sederhana dalam rangka kerja fiskal yang kukuh yang akan bergantung kepada hasil dan langkah perbelanjaan yang diyakini.
“Menyedari akan nisbah hasil cukai Malaysia yang rendah, para pengarah menekankan bahawa mobilasi hasil perlu menjadi keutamaan, bukan hanya untuk menyokong penyatuan jangka sederhana, tetapi juga membantu membiayai perbelanjaan yang diperlukan untuk mencapai keutamaan kerajaan yang dikenal pasti di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas,” kata para pengarah IMF.
Mereka menyambut baik usaha berterusan untuk meningkatkan ketelusan fiskal.
Para pengarah IMF juga menyokong pendirian dasar monetari neutral.
“Pada masa depan, keadaan kewangan dan ekonomi domestik perlu terus menjadi panduan bagi keputusan dasar monetari dengan fleksibiliti kadar pertukaran menjadi pertahanan pertama menghadapi kejutan,” kata mereka.
IMF juga berpendapat fleksibiliti kadar pertukaran boleh membantu mengukuhkan pasaran kewangan.