
SINDANGSARI (Jawa Barat): Gembira menerima berita pembebasan Siti Aisyah, ibu saudaranya membuat persiapan di kampung halaman di Indonesia untuk menyambut kepulangan wanita berusia 27 tahun itu, 1 1/2 tahun selepas beliau menjalani perbicaraan kes bunuh yang disusuli hukuman mati sekiranya didapati bersalah.
“Syukur pada Allah. Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih jika benar dia dilepaskan,” kata Darmi kepada AFP.
Pihak berkaitan katanya, perlu membawa Siti Aisyah balik terus ke kampung halamannya kerana dia tidak bersalah, katanya.
“Kami sudah dengar berita itu dan sangat gembira. Kami bersiap untuk merayakan kepulangannya!
“Terima kasih kepada semua yang menjaga anak saudara saya,” katanya.
Ibu bapa Siti Aisyah berada di Jakarta untuk menanti kepulangannya, selepas usaha diplomatik dibuat antara Malaysia dan Indonesia.

Sementara itu di Shah Alam, Siti Aisyah senyum tidak putus-putus sementara dibawa melalui barisan pemberita ke kereta di luar mahkamah, di mana beliau menghadapi perbicaraan bersama seorang wanita Vietnam atas tuduhan membunuh Kim Jong Nam di klia2 di Sepang, Selangor, pada Feb 2017.
Kedua-dua wanita itu menafikan tuduhan itu, dengan mengatakan mereka dipedaya perisik Korea Utara untuk melakukan apa yang disebut sebagai serangan “stail Perang Dingin” dengan menggunakan ejen saraf VX yang mereka percaya merupakan satu gurauan untuk lakonan TV.
Hakim tanpa disangka-sangka bersetuju dengan permohonan menarik balik tuduhan bunuh dan melepaskan Siti Aisyah, walaupun tidak membebaskan beliau sepenuhnya.
Di Sindangsari, 100km ke barat Jakarta, jiran keluarga, Darsinah, mengenangkan masa Siti Aisyah membesar sebagai seorang kanaki-kanak yang naif dan baik.
“Dia tak pernah buat kacau. Dia dengar cakap dan sopan. Saya sangat gembira,” katanya.
Siti Aisyah sendiri seperti tidak boleh membayangkan bagaimana akhirnya beliau akan balik ke kampung halaman dan terselamat daripada hukuman yang mungkin meragut nyawanya.
“Saya sudah serahkan diri kepada Tuhan,” katanya kepada TV Kompas Indonesia di Kuala Lumpur.
Katanya, beliau bersemangat atas sokongan ibu bapa, keluarganya dan pihak kedutaan.
“Sekarang saya mahu menemui mereka,” katanya.
Ditanya apakah beliau mahu kembali ke Malaysia, Siti Aisyah berkata: “Siapa tahu, tapi buat masa ini saya tidak mahu berada di sini. Saya mahu tinggal di Indonesia,” katanya.