
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kajian secara mendalam dan teliti dari semua aspek dibuat sebelum keputusan untuk menyertai Statut Rom dilaksanakan.
“Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Agong membuat sesuatu keputusan atas nasihat perdana menteri atau jemaah menteri.
“Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah menyembah maklum perkara ini kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan memberi penerangan tentang hasrat kerajaan menyertai Statut Rom pada 15 Februari lepas,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan keputusan menyertai Statut Rom selari dengan dasar kerajaan “Malaysia Baru” yang menegakkan prinsip kebenaran, hak-hak kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban.
Sebagai negara yang menandatangani “the Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court” pada 17 Julai 1998 bagi penubuhan ICC, Malaysia berpegang kepada prinsip jenayah-jenayah serius iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, adalah tidak dapat diterima dan pelakunya harus dibawa ke muka pengadilan, jelas kenyataan itu.
“ICC berpegang kepada prinsip ‘complementarity’ di mana Artikel 17 Statut Rom memperuntukkan sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa sekiranya sesebuah Negara Pihak, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan (unwilling or unable) untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan.
“Dalam erti kata lain, ia merupakan mahkamah pilihan terakhir (court of last resort),” tambah kenyataan itu.
Sehingga 4 Mac, sebanyak 124 negara menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom dan jumlah Negara Pihak adalah lebih tinggi daripada bilangan negara yang bukan Negara Pihak.
Di kalangan Negara Pihak ini terdapat negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.