Sistem insurans kesihatan kebangsaan perlu diterima semua sebelum dilaksana, kata Dzulkefly

Sistem insurans kesihatan kebangsaan perlu diterima semua sebelum dilaksana, kata Dzulkefly

Sebelum ini sebuah badan pemikir menggesa kerajaan menimbangkan satu skim insurans kesihatan nasional yang mewajibkan penyertaan individu yang mempunyai pendapatan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, masyarakat perlu menerima skim insurans kesihatan terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, sistem insurans kesihatan negara perlu diterima semua pihak sebelum ia boleh dilaksanakan.

Katanya, kerajaan sememangnya sedang merancang untuk memperkenalkan satu sistem yang melibatkan aspek insurans pada tahun ini, selepas pelancaran inisiatif mySalam pada Januari lepas.

“MySalam adalah sebahagian daripada perancangan kita untuk memperkenalkan sistem pembiayaan kesihatan yang melibatkan aspek insurans. Bezanya mySalam adalah percuma, sementara sistem insurans untuk golongan lain akan dibuat secara berperingkat.

“Tetapi kita perlu ambil perhatian tentang penerimaan masyarakat. Adakah mereka boleh menerimanya? Kita tak boleh laksanakannya begitu sahaja, perlu adakan pencerahan mengenai perkara ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib menggesa kerajaan menimbangkan satu skim insurans kesihatan nasional yang mewajibkan penyertaan individu yang mempunyai pendapatan.

Beliau mencadangkan satu dana insurans nasional yang mewajibkan sumbangan bulanan pekerja seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso).

Katanya, kadar sumbangan akan bergantung pada jumlah pendapatan dan umur.

Beliau berkata, pembiayaan penjagaan kesihatan berdasarkan cukai akan berkesan hanya sekiranya kadar cukai adalah tinggi dan sebahagian besar penduduk membayar cukai. Akan tetapi kata beliau, kurang 30% rakyat Malaysia merupakan pembayar cukai.

Azrul berkata, peruntukan RM29 bilion untuk penjagaan kesihatan dalam belanjawan kerajaan tahun ini adalah peruntukan terbesar dalam sejarah, namun jumlah itu mungkin tidak mencukupi berikutan peningkatan kos rawatan pesakit kronik dan penyakit tidak berjangkit lain.

Dzulkefly berkata, kementerian turut berhasrat untuk memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (artificial intellingence) dalam memerangi wabak denggi yang semakin meningkat di negara ini.

Katanya, sebanyak 28,580 kes denggi dilaporkan dari Januari sehingga 7 Mac 2019, berbanding 11,146 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 156%.

Malah kata beliau, sebanyak 49 kematian dilaporkan tahun ini berbanding 26 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu meningkat 88.5%.

“Kajian Institut penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan pelaksanaan AI adalah berkesan dalam mengenal pasti wabak denggi di kawasan panas dan ia pernah dilaksanakan di Pulau Pinang sebelum ini.

“Kita bercadang untuk melaksanakannya di Selangor dan Kuala Lumpur yang menunjukkan trend wabak denggi yang sedang meningkat ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, 3 pesakit kes keracunan kimia di Johor sudah dibenarkan pulang, manakala 36 masih dirawat.

“6 daripadanya masih kritikal dan 5 dirawat di Unit Rawatan Rapi dan seorang lagi sedang dipantau.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.