NGO, ahli politik bimbang bias kaum dalam pengambilan pekerja sektor swasta

NGO, ahli politik bimbang bias kaum dalam pengambilan pekerja sektor swasta

Majikan tidak harus membuat generalisasi bahawa kaum tertentu adalah lebih baik atau lebih buruk dalam menjalankan kerja tertentu.

Kajian Cent-GPS mendapati calon lelaki dan wanita berketurunan Cina mendapat lebih banyak panggilan semula temu duga pekerjaan berbanding calon Melayu dan India.
PETALING JAYA:
Kesatuan sekerja dan ahli politik menyuarakan kekecewaan berhubung diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja berikutan satu kajian yang menunjukkan orang Melayu dan India lebih mungkin berdepan diskriminasi apabila memohon kerja di sektor swasta.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata, diskriminasi kaum dalam pasaran kerja telah wujud sejak sekian lama.

Beliau berkata, ini kerana pengurusan atasan mahukan kakitangan yang bercakap dialek yang sama dengan mereka.

Beliau merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Governans dan Politik (Cent-GPS) yang mendapati calon lelaki dan wanita berketurunan Cina mendapat lebih banyak panggilan semula temu duga berbanding gabungan calon Melayu dan India.

Penyelidik kajian tersebut menyamar sebagai pemohon daripada ketiga-tiga kumpulan etnik utama dengan kelayakan serta kriteria lain yang sama yang akan menjadikan mereka calon terpilih.

“Terdapat sebuah bank di Malaysia, yang apabila anda masuk ke dalamnya, anda akan lihat pekerja daripada satu keturunan yang sama.

“Bagi saya, inilah masalahnya apabila sebagai satu masyarakat, kita tidak menekankan penggunaan bahasa kebangsaan secukupnya,” kata Halim.

Kata beliau, syarikat harus memastikan wujudnya perimbangan kaum yang baik, fokus pada pencapaian dan menggunakan lebih banyak bahasa kebangsaan.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan dapatan kajian berkenaan “sangat mengganggu” dan menggesa majikan beralih daripada bias perkauman dan mengutamakan identiti Malaysia.

“Jika kita lihat struktur sesebuah syarikat, tidak banyak yang dimiliki oleh orang Melayu dan India, dan ini adalah realiti yang menyumbang kepada keadaan itu,” katanya.

Bagaimanapun, perunding latihan dan pengambilan di GET Matrix Academy, Simon Si berkata, sukar untuk menyimpulkan daripada kajian itu bahawa wujudnya diskriminasi kerana faktor kekurangan data, termasuk latar belakang kaum kakitangan sumber manusia yang membuat keputusan tentang calon mana yang akan dipanggil untuk ditemu duga.

Si berkata, perbuatan mendiskriminasi calon berdasarkan kaum atau agama tidak menguntungkan syarikat kerana mereka tentu mahukan calon terbaik untuk jawatan yang ditawarkan.

“Syarikat mahu untung, jadi mereka mahu kakitangan yang boleh bekerja dengan baik.”

Beliau berkata, andaikan wujudnya diskriminasi berdasarkan dapatan kajian tersebut, wujud juga kemungkinan individu yang membuat keputusan tentang calon mana yang patut dipanggil temu duga membuat keputusan itu berdasarkan pengalaman lampaunya.

“Berdasarkan pengalaman itu, mungkin wujud kemungkinan individu tertentu merupakan pilihan lebih baik. Sama ada orang lain fikir ini betul atau tidak, saya fikir inilah yang berlaku.”

Ahli Parlimen Klang mewakili DAP, Charles Santiago berkata, diskriminasi sedemikian bukan sahaja berlaku dalam pasaran kerja, tetapi juga dalam penyewaan rumah.

“Saya fikir, sebagai sebuah negara, kita belum melihat satu sama lain sebagai satu keluarga besar. Kita menggunakan lensa kaum untuk menilai semua perkara yang kita lakukan. Daripada kedai mana yang kita pergi kepada individu mana yang ditawarkan kerja atau siapakah yang boleh menyewa rumah kita,” katanya.

Beliau mencadangkan penggubalan undang-undang peluang sama seperti yang wujud di negara lain bagi menangani masalah tersebut.

“Jadi jika anda memiliki kelayakan yang baik dan memohon kerja, tetapi tidak dipanggil untuk ditemu duga, anda boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa yang akan menyiasat sama ada syarikat terbabit telah secara tidak adil mengetepikan permohonan anda.”

Syarikat yang melanggar undang-undang akan dikenakan denda.

“Masyarakat perlu sedar bahawa mereka akhirnya akan rugi sekiranya tidak menghargai kelayakan dan kebolehan. Hanya kerana seseorang itu daripada kaum atau agama yang sama, ia tidak menjamin peribadi yang baik atau merupakan calon terbaik untuk kerja itu,” kata beliau.

Naib ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, dasar menyeluruh berkenaan pendidikan sivik berdasarkan nilai bersama yang merentasi pertimbangan kaum dan komuniti diperlukan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Jika dasar ini ada, maka lebih mudah bagi kita untuk menuntut diwujudkan undang-undang pekerjaan yang secara aktif mengharamkan diskriminasi dalam pengambilan pekerja,” kata beliau.

Presiden MCA, Wee Ka Siong menggesa majikan tidak membuat generalisasi bahawa kaum tertentu adalah lebih baik atau lebih buruk dalam menjalankan kerja tertentu.

“Kita tidak boleh memprofilkan individu berdasarkan kaum. Kekurangan seseorang individu, hatta kefasihan mereka berbahasa tidak ada kaitan dengan kaum.

“Pencari kerja yang memenuhi syarat pekerjaan tertentu hendaklah diberi peluang untuk ditemu duga bagi membolehkan mereka dinilai dengan adil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.