Insurans kesihatan nasional langkah ke depan, kata badan pemikir

Insurans kesihatan nasional langkah ke depan, kata badan pemikir

Pembiayaan penjagaan kesihatan melalui cukai kerajaan tidak dapat dipertahankan dalam jangka panjang.

Pembiayaan penjagaan kesihatan berdasarkan cukai akan berkesan hanya sekiranya kadar cukai adalah tinggi dan sebahagian besar penduduk membayar cukai, kata sebuah badan pemikir.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menggesa kerajaan menimbangkan skim insurans kesihatan nasional yang mewajibkan penyertaan individu yang mempunyai pendapatan.

Bercakap kepada FMT, ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib berkata, beliau bimbang pembiayaan penjagaan kesihatan melalui cukai yang dikutip oleh kerajaan tidak dapat dipertahankan dalam jangka panjang.

Beliau mencadangkan diwujudkan satu dana insurans nasional yang mewajibkan sumbangan bulanan pekerja seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso).

Kadar sumbangan akan bergantung pada jumlah pendapatan dan umur, katanya. “Akan ada perkongsian kolektif antara dana dan risiko.”

Katanya, pembiayaan penjagaan kesihatan berdasarkan cukai akan berkesan hanya sekiranya kadar cukai adalah tinggi dan sebahagian besar penduduk membayar cukai. Akan tetapi kata beliau, kurang 30% rakyat Malaysia merupakan pembayar cukai.

Azrul berkata, peruntukan RM29 bilion untuk penjagaan kesihatan dalam belanjawan kerajaan tahun ini adalah peruntukan terbesar dalam sejarah, namun jumlah itu mungkin tidak mencukupi berikutan peningkatan kos rawatan pesakit kronik dan penyakit tidak berjangkit lain.

Katanya, hospital mungkin tidak berkemampuan untuk memanfaatkan kemajuan terbaru dalam bidang perubatan sekiranya kerajaan terikat dengan pembiayaan berasaskan cukai.

Standard penjagaan kesihatan akan menjadi lebih rendah daripada yang diharapkan bagi sebuah negara berpendapatan pertengahan atas dan “rakyat perlu mendapatkan rawatan lebih berkualiti di luar negara,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.