
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah yang dicatat setakat 9.30 malam menyaksikan pertambahan 31 orang.
Beliau berkata, kesemua 79 orang itu membabitkan 32 yang dirawat sebagai pesakit luar, manakala 47 lagi dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak kejadian dilaporkan.
“Daripada 47 yang dirawat di HSI, 16 sudah dibenarkan pulang, manakala 31 yang lain masih berada di wad, termasuk 6 ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan stabil.
“31 orang berkenaan melibatkan 2 kanak-kanak, 15 pelajar sekolah serta 14 orang dewasa, termasuk 3 petugas perubatan,” katanya kepada pemberita selepas program Gotong-Royong Mega perangi Aedes 1.0 peringkat negeri Johor 2019 di Taman Kota Masai, di sini, hari ini.
Sementara itu, Sahruddin yang turut mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah Johor Bahru malam tadi berkata, kerja pembersihan sisa buangan kimia di sepanjang 1.3 kilometer Sungai Kim Kim akan dilakukan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kontraktor berpengalaman dalam melakukan kerja pelupusan bahan kimia terjadual akan dilantik bagi melakukan pembersihan tersebut.
“Lokasi utama pembuangan sisa kimia telah dibersihkan manakala pembersihan sisa-sisa di sepanjang 1.3 kilometer dari lokasi pembuangan sehingga ke hilir sungai akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Dalam mesyuarat semalam, semua agensi terlibat antaranya pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) telah dimaklumkan dan kerja pembersihan sisa-sisa buangan itu akan dijalankan,” katanya.
Pada Khamis, seramai 1,400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih diarah mengosongkan kawasan sekolah susulan ada pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.