
Selain beberapa bangunan yang mendapat bekalan elektrik daripada sebuah penjana peribadi, ibu kota Caracas terpaksa bergelap mulai pukul 4.50 petang, yang turut menjejaskan sistem pengangkutan metro bandar serta perkhidmatan telefon dan internet.
Digelar sebagai antara bandaraya paling berbahaya di dunia, jalan-jalan di Caracas biasanya lengang selepas hari beransur gelap.
Laporan media tempatan menyebut insiden gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan sebahagian besar Venezuela.
“Mereka mensabotaj penjana pusat… ia adalah sebahagian daripada taktik peperangan yang menggunakan bekalan elektrik terhadap negara,” kata syarikat elektrik negara CORPOELEC melalui akaun Twitternya.
“Kami tidak akan membenarkan ia berlaku dan kami sedang bertungkus-lumus untuk mengembalikan perkhidmatan itu.”
Penjana hidroelektrik pusat di Guri, yang terletak di timur negeri Bolivar, adalah antara yang terpenting di Amerika Latin selain di Itaipu, yang terletak antara sempadan Brazil dan Paraguay.
Gangguan bekalan elektrik sering berlaku di Venezuela, yang kini berdepan krisis ekonomi.
Pakar menyalahkan kerajaan kerana kurang membuat pelaburan dalam infrastruktur manakala rejim menuding jari ke arah pensabotaj tanpa mengenal pasti siapa mereka.
Tahun lepas, Maduro meminta angkatan bersenjata menjaga serta melindungi penjana hidroelektrik negara namun gangguan bekalan terus berlaku.