Nasi goreng tsunami hasil inspirasi bekas cef tarikan Warung ‘D’ Keramat

Nasi goreng tsunami hasil inspirasi bekas cef tarikan Warung ‘D’ Keramat

Mengambil inspirasi daripada tsunami yang melanda Thailand maka terciptalah nasi goreng dilimpiahi makanan laut

Tsunami yang melanda Pataya, Thailand pada 2004 telah menjadi inspirasi seorang bekas cef eksekutif di beberapa buah hotel dan resort memperkenalkan menu nasi goreng tsunami di restorannya di Taman Universiti di Johor Bharu.

Mohd. Ali Imran Alias, 38, lepasan Diploma Kulinari Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) berkata, menu yang menjadi signature dish restorannya kini menjadi pilihan ramai pelanggan yang ingin mencuba nasi goreng dibanjiri makanan laut seperti udang dan kepah selain ayam dan daging.

Menurut laporan media, Warung ‘D’ Keramat di Jalan Pendidikan 6, Taman Universiti, nasi tsunami itu sengaja dibuat besar bagi memuaskan hati pelanggannya yang turut terdiri daripada pelajar sebuah universiti berhampiran bagi mengisi perut sebelum kembali ke asrama masing-masing.

“Nasi goreng tsunami ini merupakan nasi goreng pataya dibanjiri kuah pes tomyam resipi sendiri dan sos nampla bagi mencetuskan rasa nikmat masam pedas yang diminati pelanggan.

“Sebagaimana tsunami membanjiri laluannya, begitu jugalah dengan juadah ini dibanjiri kuah dan hidupan laut seperti udang dan kepah menepati tema yang diberikan,” katanya.

Mohd. Ali yang juga pakar masakan Itali berkata, ramai di kalangan pelanggannya kembali ke restorannya membawa bersama rakan-rakan dan ahli keluarga supaya dapat menikmati nasi goreng banjir yang penuh dengan udang dan kupang itu.

Mohd. Ali yang menuntut di Institut Hospitaliti KPYPJ pada 1999-2001 berkata, selain nasi goreng tsunami, restorannya turut menyediakan char kway teow bersarang iaitu kway teow berkuah dan berlauk itu beralaskan mihun goreng.

Dia yang pernah menyediakan masakan untuk bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultan Johor berkata, kedua-dua juadah tersebut ditawarkan pada harga sangat berpatutan iaitu RM8 sepinggang.

Selain dua juadah yang menjadi identiti restoran itu, Warung ‘D’ Keramat turut menyediakan hampir 40 jenis masakan Melayu setiap hari antaranya siput sedut, kari daging, kari ikan, babat masak lemak, asam pedas, ulam-ulaman, ikan salai lemak pisang muda yang diimport dari Indonesia dan pelbagai aneka sayur-sayuran.

Sebelum menceburi bidang perniagaan, Mohd. Ali pernah menjadi cef di beberapa restoran dan hotel seperti Piccolo Mondo (restoran Itali), Pear International Hotel Kuala Lumpur, A’ Farmosa Resort Melaka, Pulai Spring Resort Johor Bahru dan beberapa lagi restoran terkenal.

Warung ‘D’ Keramat dibuka dari 7 pagi hingga 1 pagi pada setiap hari.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.