India: Parti pembangkang utama umum senarai pertama calon pilihan raya

India: Parti pembangkang utama umum senarai pertama calon pilihan raya

PRU India dijangka berlangsung pada April hingga Mei 2019, meskipun jadual sebenar belum diumumkan.

Pengerusi INC, Rahul Gandhi, mewakili Parlimen Amethi di Uttar Pradesh sebanyak 3 kali sejak 2004. (Gambar Bernama)
NEW DELHI:
Parti pembangkang utama India, Kongres Kebangsaan India (INC) mengeluarkan senarai pertama calonnya menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang, lapor agensi berita China Xinhua.

PRU India dijangka berlangsung pada April hingga Mei 2019, meskipun jadual sebenar belum diumumkan.

Sebanyak 15 nama diumumkan dalam senarai calon pertama INC, termasuk presiden parti, Rahul Gandhi serta ibunya, Sonia Gandhi yang masing-masing akan bertanding di kerusi Parlimen Amethi dan Rae Bareli, yang terletak di utara negeri Uttar Pradesh.

Daripada 15 kerusi Parlimen yang nama calonnya diumumkan, 11 adalah dari Uttar Pradesh, manakala 4 lagi dari Gujarat.

Rahul adalah anak, cucu serta cicit 3 bekas perdana menteri India iaitu Rajiv Gandhi, Indira Gandhi serta Jawaharlal Nehru, yang juga perdana menteri pertama negara itu.

Beliau mewakili kawasan Parlimen Amethi sebanyak 3 kali sejak 2004.

Sonia Gandhi, balu Rajiv, pula dipilih menjadi anggota Parlimen sejak 1999. Ini merupakan kali ke-6 beliau bertanding.

Menariknya, adik perempuan Rahul, Priyanka Gandhi Vadra, yang baru-baru ini dilantik sebagai setiausaha agung INC, tidak disenarai sebagai calon parti itu.

Priyanka ditugaskan untuk menjaga proses pilihan raya di 41 kerusi Parlimen di timur Uttar Pradesh.

Terdapat sejumlah 80 kerusi Parlimen di Uttar Pradesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.