
Beliau merujuk resolusi yang diluluskan Perhimpunan Agung MCA pada 2 Disember lalu untuk membubarkan BN dan membentuk gabungan baru yang lebih berkesan.
Mohamad berkata, BN bersetuju menubuhkan jawatankusa teknikal bagi menyelesaikan setiap masalah disuarakan parti komponennya dan menstruktur semula operasinya menjelang pilihan raya umum ke-15.
Katanya, langkah itu akan memastikan tiada pihak berasa diketepikan atau ada parti yang menjadi dominan.
“Umno dan MIC merasakan tidak perlu membubarkan BN,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
“Setiap pihak mempunyai ruang untuk berfungsi. Kami mempunyai ruang untuk bekerja dengan PAS. Di (pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri) Balakong, MCA mempunyai ruang menggunakan logo mereka.”
Isnin lalu, Presiden MIC, SA Vigneswaran dan Presiden MCA, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, mereka tidak lagi yakin BN komited kepada asas pembentukankonsep pelbagai kaum dan menggesa mesyuarat peringkat tertinggi diadakan untuk membincangkan masa depan BN, sebelum mereka meneroka “pakatan baru”.
Hari ini, Mohamad berkata, mesyuarat BN turut mendengar isu dibangkitkan MCA dan MIC, termasuk resolusi pembubaran BN.
“Bolehlah saya katakan beliau telah menerangkan secara terperinci apa dan bagaimana resolusi ini terjadi dan mengambil kira keadaan semasa.
“Tidak kurang juga isu yang dibawa oleh Vigneswaran, antaranya berkenaan (kelemahan) BN ketika menjadi kerajaan dan perkara yang dilakukan dalam memberi bantuan kepada masyarakat India.”
Mengenai kerjasama Umno dan PAS, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, MCA dan MIC memahami kerjasama itu hanya antara 2 parti terbabit, bukannya BN.
Tetapi, katanya, kerjasama itu akan memanfaatkan BN seperti yang dilihat di PRK Cameron Highlands.
Sementara itu, Wee berkata, beliau akan membawa isu yang dibincangkan hari ini ke Jawatankuasa Pusat parti itu.
Katanya, MCA tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa pun, termasuk PAS, jika kerjasama itu tidak bertentangan perlembagaan dan membawa kebaikan kepada rakyat.
Beliau dan Vigneswaran berkata, adalah jelas kerjasama Umno-PAS demi blok pembangkang dan tiada kaitan dengan parti Islam itu menyertai BN.
Vigneswaran berkata, MIC juga tiada masalah bekerjasama dengan PAS.